G Moses Govindarajoo (tengah) menunjukkan barang rampasan daripada empat orang yang ditahan. FOTO Abdullah Yusof
G Moses Govindarajoo (tengah) menunjukkan barang rampasan daripada empat orang yang ditahan. FOTO Abdullah Yusof
Mohd Hafizee Mohd Arop


POLIS menahan empat lelaki di Ipoh secara berasingan, Rabu dan Jumaat lalu kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan ‘along’ susulan laporan diterima daripada peminjam yang diganggu serta ditampar ahli kumpulan itu.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak, Deputi Superintendan G Moses Govindarajoo berkata, keempat-empat lelaki berusia 18 hingga 28 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Ipoh.

Katanya, tangkapan itu dilakukan selepas lelaki berusia 47 tahun yang juga pemilik kedai bingkai gambar membuat laporan diganggu serta ditumbuk kumpulan berkenaan selepas dia membuat pinjaman kira-kira RM63,000 daripada 11 along.

Menurutnya, polis merampas pelbagai kad bank milik suspek dan peminjam, buku catatan peminjam, telefon bimbit, cek bank dan penukul di dalam kereta milik suspek.

"Dua daripada suspek dikehendaki polis berkaitan kes along di Alor Setar Kedah manakala dua lagi dikehendaki berhubung kes sama di Salak Selatan, Cheras.

"Kesemua mereka direman sehingga esok sebelum kes dirujuk kepada pendakwaraya dan suspek akan diserahkan kepada dua kontinjen lain untuk siasatan,"katanya dalam sidang media di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 9:06 PM