Che Hasni (tiga dari kanan) menunjukkan lori yang membawa lebih muatan ketika Ops Bersepadu bersama PDRM dan PLUS di Plaza Tol Skudai. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Che Hasni (tiga dari kanan) menunjukkan lori yang membawa lebih muatan ketika Ops Bersepadu bersama PDRM dan PLUS di Plaza Tol Skudai. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


SURUHANJAYA Pengangkutan Awam Darat (SPAD) terus menjalinkan kerjasama dengan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bagi mendapatkan bantuan pemantauan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sepanjang lebuh raya itu dalam usaha mengesan sikap pemandu.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, kerjasama yang sudah dibuat sejak awal tahun ini juga bertujuan mengekang kejadian kemalangan membabitkan kenderaan berat seperti bas dan lori yang disebabkan oleh perilaku pemandu.

Beliau berkata, usaha itu diberikan keutamaan bagi memastikan keselamatan penumpang terutamanya yang membabitkan bas dan tindakan sewajarnya akan dikenakan kepada pemandu yang dikesan tidak mematuhi undang-undang.

"CCTV di mana-mana itu perlu, kita (SPAD) memantau CCTV di lokasi tertentu di setiap lebuh raya yang kita rasa perlu pantau terutamanya di kawasan-kawasan kerap berlaku kemalangan.

"Pemandu kenderaan awam darat khususnya bas dan lori dinasihatkan mematuhi undang-undang dan keselamatan penumpang, selain orang ramai juga boleh menjadi mata dan telinga untuk melaporkan dengan segera kejadian berkenaan," katanya ketika sidang media pada lawatan Operasi Bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PLUS di Plaza Tol Skudai, Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, sehingga jam 4 petang, operasi dengan kekuatan 42 anggota itu berjaya mengenal pasti sebanyak 14 kes membabitkan kesalahan SPAD, manakala 22 kes bagi PDRM.

Katanya, kesalahan itu termasuk kegagalan menunjukkan dokumen tertentu, memandu melebihi had laju, kenderaan melebihi muatan dan ketidakseimbangan tayar kenderaan.

"Bagi kesalahan untuk kenderaan bas adalah mengikut Seksyen 23 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM100,000 atau tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

"Bagi kesalahan untuk lori adalah mengikut Seksyen 57 APAD 2010 yang mana boleh didenda tidak kurang RM100,000 atau tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 7:22 PM