Keadaan warga Bangladesh yang bersesak di dalam dua bilik di sebuah kediaman di Ampang. FOTO ihsan Jabatan Imigresen
Keadaan warga Bangladesh yang bersesak di dalam dua bilik di sebuah kediaman di Ampang. FOTO ihsan Jabatan Imigresen
Kalidevi Mogan Kumarappa

[email protected]. my

SERAMAI 14 warga Bangladesh yang berhimpit dan sesak dalam dua bilik di sebuah kediaman di Ampang diselamatkan Jabatan Imigresen, 5 pagi hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, tiga warga Bangladesh yang dipercayai menjadi dalang mengatur kemasukan rakan senegara untuk diperdagangkan turut ditahan dalam serbuan itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati tiga warga Bangladesh itu berperanan mengatur kemasukan rakyat negara itu ke Malaysia dan mengawal premis terbabit bagi pihak tertentu.

Katanya, serbuan itu dijalankan hasil maklumat awam dan risikan sepasukan pegawai Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa Jabatan Imigresen Putrajaya dibantu pasukan Bahagian Operasi Siasatan dan Pendakwaan.

"Ketika serbuan, premis berkenaan berkunci dari luar dipercayai bertujuan mengaburi pihak berkuasa.

"Keadaan itu memaksa pasukan operasi memecahkan pintu utama untuk masuk ke premis berkenaan.

“Semua mangsa ditempatkan di dalam dua bilik berasingan dengan keadaan berhimpit dan sesak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 10:06 PM