LONGKANG jadi tempat sembunyi.
LONGKANG jadi tempat sembunyi.
Oleh Mohd Hasbi Sidek

Pelabuhan Klang: Dua lelaki warga Nepal sanggup berhimpit di bawah katil yang sempit dengan harapan pihak berkuasa tidak menyedari ‘kelibat’ mereka ketika Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor melakukan serbuan semalam.

Bagaimanapun, mereka akhirnya berjaya dikesan dan ditahan bersama 55 warga asing lain dalam Ops Pintu dan Ops Selera yang dijalankan di sekitar kawasan Industri Pulau Indah 2, Pelabuhan Barat, di sini, awal pagi semalam.

Dalam operasi yang bermula kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, penguat kuasa Imigresen menyerbu 20 premis yang dijadikan asrama pekerja asing di serta beberapa premis makanan di sekitar kawasan industri berkenaan.

Dua warga asing berkenaan yang sedang nyenyak tidur dikejutkan dengan kehadiran anggota JIM bertindak bersembunyi di bawah katil namun selepas pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Pengarah JIM Selangor Amran Ahmad berkata, seramai 55 anggota terbabit dalam operasi berkenaan yang dijalankan selama dua jam.

“Operasi dijalankan selepas pihak kami menerima maklumat orang ramai dan risikan yang kami jalankan mendapati kawasan berkenaan dijadikan asrama pekerja warga asing yang kebanyakannya bekerja di sebuah syarikat swasta di Pelabuhan Klang.

“Hasilnya, kami menyerbu 20 asrama itu dan mendapati setiap bilik menempatkan kira-kira 15 hingga 20 individu warga asing dilengkapi dengan bilik air dan dapur,” katanya ketika ditemui sejurus operasi tamat.

Menurutnya, warga asing yang ditahan masing-masing berusia antara 22 dan 42 tahun yang mana 20 adalah warga Indonesia, Bangladesh (16), India (13) dan sembilan warga Nepal.

Beliau yang mengetuai operasi berkenaan berkata, pihaknya juga mensasarkan beberapa premis makanan di kawasan itu yang menjadi tumpuan warga asing untuk minum selain terdapat antara mereka yang bekerja di premis berkenaan.

“Selepas diteliti, mereka melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen seperti tinggal lebih masa, tiada dokumen pengenalan diri dan tidak mempunyai permit kerja yang sah.

“Operasi ini akan dijalankan dari masa ke semasa bagi membanteras warga asing di negeri ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penempatan warga asing yang mencurigakan diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, mereka yang ditahan akan ditempatkan di Depoh Tahanan Sementara Imigresen Selangor untuk siasatan lanjut yang dibuat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 5:30 AM