Hayati Ibrahim

Putrajaya: Seramai 59 warga Bangladesh yang juga mangsa sindiket pemerdagangan orang diselamatkan Jabatan Imigresen (JIM) dalam satu serbuan di dua kondominium di Desa Petaling, Kuala Lumpur, petang semalam.

Berikutan itu tiga lelaki dan seorang wanita warga Bangladesh ditahan untuk membantu siasatan.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata, seorang daripada lelaki yang ditahan disyaki tekong atau ejen yang berperanan menguruskan ketibaan dan membekalkan pekerja kepada majikan di Malaysia.

Sementara, dua lagi lelaki dan wanita yang ditahan berperanan sebagai pembantu dan mengawal rumah transit sebelum mangsa dihantar kepada ejen atau majikan.

"Mangsa tinggal di rumah transit dalam keadaan berhimpit dan sesak. Telefon bimbit, pasport serta wang tunai milik mangsa turut dirampas, selain tidak dibenarkan keluar dari rumah atau membuat sebarang panggilan telefon.

"Mangsa juga diancam akan dicederakan sekiranya tidak mengikut arahan atau cuba keluar dari rumah transit,"katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mustafar berkata, sindiket ini juga dipercayai turut terbabit dalam aktiviti mencetak pelekat keselamatan Imigresen palsu hasil penemuan sebuah komputer, alat pencetak dan pasport Bangladesh dalam bilik di sebuah premis kediaman itu.

Beliau berkata, pihaknya percaya sindiket ini sudah lama menjalankan kegiatan berdasarkan modus operandi yang digunakan, dan mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan migran yang berjaya ditumpaskan November lalu.

"Jabatan akan terus memburu dalang atau mereka yang bersekongkol dengan kegiatan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

"Hasil tangkapan ini juga dipercayai akan membawa kepada penemuan rangkaian sindiket lain yang bergerak aktif,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 6:26 PM