Sabak Bernam: “Pulanglah adik, nenek sudah maafkan semuanya. Tolonglah....nenek sakit, tak boleh jalan...hampir setiap hari menangis teringatkan adik,” rayu Mariam Borham, 56, susulan kehilangan cucunya, Azwanis Akmal Samsuddin, 15, sejak pagi Selasa lalu.

Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap itu dipercayai hilang dari rumah mereka di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Desa Kasih Merbau Berdarah, Parit 16, kira-kira jam 2 pagi.

Mariam berkata, kehilangan cucu bongsu daripada dua beradik itu disedari abang Azwanis, Muhammad Shanizan, 16, selepas pulang bekerja di kedai makan.

“Mak cik ingat dia tidur di rumah saudara tetapi bila tanya mereka kata Azwanis tak ada,” katanya.

Mariam berkata, dia menjaga cucunya itu selepas anaknya, Samsuddin, 44, bercerai dengan isterinya ketika Azwanis berusia enam bulan.

“Hubungan mak cik dengan Azwanis memang rapat, kadang-kadang dia peluk dan cium mak cik sebelum tidur, memang terasa kehilangannya,” katanya.

Ibu saudara Azwanis, Habibah Ahmad, 46, berkata, sejak kehilangan anak saudaranya itu, perasaannya tidak tenteram malah pernah bermimpi mengenainya.

“Saya pernah bermimpi, Azwanis minta tolong. Dia kata terkurung dan tak boleh nak makan,” katanya.

Habibah berkata, walaupun hubungannya sebagai ibu saudara, namun dia rapat dengan Azwanis yang memanggilnya ‘ibu’ sejak dari kecil.

“Saya ada bertanya dengan kawan rapat Azwanis. Mereka kata, Azwanis ada berkawan dengan lelaki tak dikenali, tapi tak tahu sejauh mana kebenarannya.

“Azwanis mungkin bawa beberapa helai pakaian saja ketika keluar dan saya merayu mereka yang menemui anak saya menghubungi kami di talian 019-3203055 atau 019-5262337,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2017 @ 8:10 AM