Keadaan tiga rumah yang rentung. FOTO Ihsan Bomba
Keadaan tiga rumah yang rentung. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


TIGA rumah dua tingkat separa kayu dan batu musnah dalam kebakaran di Kampung Padang, Jalan Kuala Kedah, Alor Setar, di sini, malam semalam.

Bagaimanapun, ketika kejadian jam 12 tengah malam itu, penghuni di dua rumah berkenaan tiada di rumah manakala seorang lagi pemilik meninggal dunia Sabtu lalu akibat penyakit kencing manis.

Ketiga-tiga pemilik rumah itu adalah adik beradik dan masing-masing tinggal di rumah sendiri yang terletak bersebelahan.

Anak mangsa, Mohd Fitri Abdul Razak, 41, berkata, ibunya, Matha Abdullah, 73, hanya tinggal di rumah itu pada waktu siang manakala sebelah malamnya dia bermalam di rumah kakak sulungnya, Rosmini Abdul Razak, 53, di Kampung Teluk Kechai, Jalan Kuala Kedah.

"Segala barangan dalam rumah habis hangus terbakar dan anggaran kerugian adalah melebihi RM100,000 untuk ketiga-tiga rumah kerana semuanya penuh dengan barangan perabot dan elektrik," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Pegawai Bomba Kanan I Jasbir Singh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.27 malam dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.

Beliau berkata, operasi disertai seramai enam anggota dan dua jentera termasuk Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) malah turut dibantu 55 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan enam jentera mereka.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati api sedang marak dan hasil pemeriksaan mendapati tiada mangsa di dalam rumah berkenaan.

"Api berjaya dikawal jam 12.51 dan tamat pada jam 2.10 pagi tadi. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

"Kebakaran membabitkan 80 peratus kemusnahan dan punca serta kerugian masih disiasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 11:20 AM