Tosrin (dua dari kanan) ketika menyertai
Tosrin (dua dari kanan) ketika menyertai
Mohd Sabran Md Sani


“SAYA akan pikul tanggungjawab ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi yang menyertai Operasi Cegah Maksiat di Bahagian Penguatkuasaan Syariah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), malam tadi.

Tosrin, 69, yang baharu dilantik sebagai EXCO portfolio itu pada 22 April lalu berkata meskipun pertama kali terbabit dalam operasi seperti itu, dia teruja melaksanakan tugas baru bersama pegawai penguat kuasa agama (PPA).

“Sudah pasti operasi membanteras maksiat serta aktiviti tidak bermoral menjadi keutamaan dan saya ambil berat perkara ini,” katanya.

Menurutnya, serbuan bukan sahaja di hotel bajet, malah jika ada aduan rasmi tindakan akan dilakukan di hotel lima bintang.

Pada masa sama, beliau menguatkan iltizam untuk melaksanakan operasi Gempur Ramadan bagi membanteras kegiatan judi nombor ekor dan individu tidak berpuasa.

“Saya akan mengarahkan pegawai penguat kuasa untuk melaksanakan operasi Gempur Ramadan.

“Jika biasanya ia berkait dengan aktiviti ceramah, tetapi kali ini kita gempur pusat nombor ekor dan menahan mereka yang tidak berpuasa,” katanya.

Operasi diketuai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Syariah JAINJ, Halid Sono menahan lima pasangan berusia 18 hingga 43 tahun kerana disyaki berkhalwat di hotel bajet diTaman Perling dan Danga Bay.

Operasi Banteras Maksiat Sempena Cuti Umum Hari Pekerja itu turut disertai 20 penguat kuasa agama (PPA) JAINJ dan Pejabat Kadi Daerah Johor Bahru melakukan pemeriksaan ke atas lima hotel bajet di kawasan terbabit berrmula jam 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 10:45 AM