PEGAWAI SPRM membawa suspek keluar dari Mahkamah Majistret Putrajaya.
PEGAWAI SPRM membawa suspek keluar dari Mahkamah Majistret Putrajaya.
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Seramai 10 individu termasuk dua ketua polis daerah dibebaskan dengan jaminan Mahkamah Majistret di sini, berhubung kes kegiatan mengutip wang rasuah daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di Melaka.

Dua ketua polis daerah terbabit berpangkat asisten komisioner (ACP) dan deputi superintendan (DSP), dua pegawai berpangkat asisten superintendan (ASP), dua pegawai berpangkat inspektor serta seorang anggota berpangkat koperal dibebaskan dengan jaminan RM50,000 setiap seorang, kelmarin.

Mereka dibebaskan selepas Majistret Muhamad Safuan Azhar membenarkan permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Untuk prosiding semalam, Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman juga membenarkan tiga orang awam dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM100,000 setiap seorang.

Pada 17 Mei lalu, sembilan individu membabitkan dua ketua polis daerah serta empat pegawai polis dan tiga orang awam ditahan reman enam hari sehingga 22 Mei dan disambung lima hari lagisehingga semalam bagi siasatan kes berkenaan.

Bagaimanapun, dua ketua polis daerah serta empat pegawai polis itu dibebaskan lebih awal, kelmarin manakala tiga orang awam dibebaskan semalam selepas tempoh reman mereka tamat.

Seorang anggota berpangkat koperal yang turut dibebaskan kelmarin, sepatutnya tamat tempoh reman terhadapnya pada 30 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2017 @ 3:43 AM