Siti A'isyah Sukaimi


PEMANDU van yang ditahan reman berhubung kes kegiatan mengutip wang rasuah daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di Melaka dibebaskan dengan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan permohonan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya terhadap lelaki berusia 32 tahun itu selepas reman terhadapnya tamat hari ini.

Pada 19 Mei lalu, suspek yang dipercayai menjadi orang tengah antara pemilik rumah judi dan anggota serta pegawai polis ditahan reman enam hari sehingga 24 Mei seterusnya dilanjutkan enam hari hingga 30 Mei hari ini.

Terdahulu, suspek dibawa pegawai SPRM ke perkarangan mahkamah pada 9 pagi dan dilihat memakai baju lokap warna jingga serta tangannya bergari.

Sehingga kini, 13 individu termasuk sembilan pegawai dan anggota polis dengan dua daripadanya ialah Ketua Polis Daerah ditahan reman oleh SPRM bagi membantu siasatan terhadap kes berkenaan.

Pada masa sama, 12 daripada individu yang ditahan reman itu sudah dibebaskan dengan jaminan.

FOTO Abdul Rahim Rahmat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2017 @ 12:56 PM
PEMANDU van bebas reman dengan jaminan RM100,000 di Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Abd Rahim Rahmat
PEMANDU van bebas reman dengan jaminan RM100,000 di Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Abd Rahim Rahmat