Siti A'isyah Sukaimi


PEGAWAI kanan polis bergelar Datuk dibebaskan hari ini selepas tamat tempoh reman bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan lebih RM100,000.

Majistret Joanne Tan Xin Ying membenarkan pegawai kanan berusia 56 tahun berpangkat Senior Asisten Komisioner itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) RM5,000 dengan seorang penjamin.

Media sebelum ini melaporkan pegawai kanan polis itu disyaki meminta dan menerima rasuah antara Ogos 2017 sehingga Ogos lalu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap koperal polis yang mengambil upah dalam urusan pengurangan saman dan kesalahan trafik.

Sumber dipetik berkata, kesalahan itu dipercayai dilakukan di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Individu terbabit yang kini bertugas di Bukit Aman ditahan jam 7.10 malam pada 25 Oktober lalu di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir memberi keterangan.

Penahanannya dilakukan susulan operasi SPRM yang dilaksanakan pada 3 September lalu.

Berikutan itu, lelaki terbabit direman lima hari bermula 26 Oktober lalu dan tamat pada hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, individu terbabit tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya diiringi pegawai SPRM jam 9.30 pagi.

Berita berkaitan

Pegawai kanan polis bergelar Datuk direman 5 hari

Pegawai kanan polis bergelar Datuk ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 12:13 PM
PEGAWAI kanan polis (tengah) dibebaskan daripada reman, hari ini. FOTO Abd Rahim Rahmat
PEGAWAI kanan polis (tengah) dibebaskan daripada reman, hari ini. FOTO Abd Rahim Rahmat