ANTARA bot pukat  tunda ganding dari Vietnam yang ditahan  APMM Tanjung Sedili.
ANTARA bot pukat tunda ganding dari Vietnam yang ditahan APMM Tanjung Sedili.
Ibrahim Isa

Kota Tinggi: Kehadiran lebih 10 bot pukat tunda Vietnam yang menangkap ikan secara bersendirian atau bergandingan antara dua hingga tiga bot menyebabkan pelbagai ikan gred A pupus di perairan Sedili.

Selain spesies ikan gred A seperti ikan merah dan tenggiri berkurangan, kehadiran banyak bot pukat tunda itu pada satu-satu masa menyebabkan terumbu karang turut musnah, sekali gus mengurangkan jumlah ikan di perairan terbabit.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tanjung Sedili Majid Abdul Rahman berkata, kekurangan ikan antara faktor utama harga ikan meningkat sekali ganda berbanding sebelum ini.

“Orang ramai perlu faham, sebelum ini lebih 500 nelayan di bawah persatuan hanya menggunakan kaedah tradisional lebih mesra alam berbanding kelengkapan digunakan mereka.

“Nelayan bot pukat tunda ganding Vietnam ini bukan saja menggunakan pukat kabel, malah turut bergerak secara dua hingga tiga bot sekali gus untuk menarik pukat berkenaan.

“Pukat mereka boleh masuk ke dasar dan apabila digandingkan dengan dua hingga tiga bot, ia akan merangkumi kawasan lebih luas,” katanya ketika ditemui di Pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) daerah Sedili, di sini, semalam.

Katanya, selain bergerak secara bergandingan, ada bot pukat lain beroperasi di kawasan berhampiran hingga merosakkan bubu, pukat, rumah ikan dibina nelayan dan terumbu karang.

Sementara itu, Pengurus Besar PNK Tanjung Sedili Kaismail Kadir berkata, jumlah tangkapan ikan mencatatkan penurunan secara mendadak sejak kehadiran bot pukat tunda Vietnam terbabit.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya boleh mendaratkan ikan antara 200,000 hingga 300,000 tan sebulan bagi tempoh 1990 hingga 2000 lalu.

“Malangnya, sejak beberapa tahun ini kami sukar mendaratkan 100,000 tan ikan setiap bulan dengan 30 peratus boleh dijual, manakala 70 peratus adalah ikan kategori ikan baja (makanan ikan).

“Semua ikan gred A seperti merah dan tenggiri pupus dan nelayan terpaksa keluar lebih jauh untuk mendapatkan hasil.

“Sebelum ini, dengan hanya sejam perjalanan nelayan boleh mendapat ikan, namun disebabkan kawasan diceroboh bot pukat tunda Vietnam, nelayan terpaksa pergi ke kawasan lain sehingga tiga atau empat jam,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu menambah kos operasi mengakibatkan harga ikan meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2017 @ 5:47 AM