LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan merampas sebuah bot pukat tunda kerana menceroboh zon penangkapan ikan berhampiran Kuala Penyu.

Bot berpendaftaran Malaysia itu dipintas pasukan peronda APMM dalam Ops Sejahtera kira-kira 2.5 batu nautika di luar perairan Beting Jahat pada jam 6 petang semalam.

Ketua Penguat kuasa APMM Labuan Kapt Che Adnan Md Isa berkata tiga awak-awak dan tekong warga asing bot Zon B itu berumur antara 20 dan 38 tahun disoal siasat kerana menceroboh kawasan penangkapan ikan Zon A.

Katanya bot pukat tunda Zon B hanya dibenar beroperasi di kawasan lebih tiga batu nautika dari pantai.

“Bagaimanapun, nelayan terbabit menceroboh kawasan kurang tiga batu nautika daripada kawasan pengangkapan ikan yang dibenarkan dan bot mereka kini ditahan di jeti APMM untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya.

Beliau berkata agensi itu akan terus memantu perairan wilayah dan kawasan larangan bagi mencegah kesalahan maritim.

“Aktiviti penangkapan ikan di kawasan perairan larangan boleh memusnahkan hidupan marin dan terumbu karang buatan manusia,” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Februari 2015 @ 8:05 PM