Sum pada sidang media hari ini. FOTO Farah Suhaidah Othman
Sum pada sidang media hari ini. FOTO Farah Suhaidah Othman
Farah Suhaidah Othman


ANGGOTA polis kerugian RM60,000 selepas bahagian hadapan rumahnya di Taman Sri Tambun, Tambun, Ipoh dan kenderaan pelbagai guna (MPV) miliknya terbakar akibat dibaling molotov cocktail oleh empat lelaki, petang semalam.

Ketika kejadian 4.04 petang itu, koperal polis berusia 43 tahun itu sedang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sebelum dimaklumkan isterinya berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, susulan kejadian itu, mangsa pulang dan mendapati Toyota Ipsum yang diparkir di garaj hadapan rumah serta bumbung dan dinding kediaman terbakar.

Katanya, siasatan awal mendapati jiran mangsa terlihat empat lelaki menunggang dua motosikal membaling molotov cocktail ke arah kenderaan mangsa sebelum melarikan diri.

“Ketika kejadian isteri dan anak mangsa berada di rumah namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Anggaran kerugian dialami mangsa kira-kira RM60,000,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat IPD, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2017 @ 3:05 PM