Gajah denak, Suria dan Indah dalam operasi memindahkan gajah jantan di kawasan kampung FELDA Panching Selatan. FOTO ihsan PKGK
Gajah denak, Suria dan Indah dalam operasi memindahkan gajah jantan di kawasan kampung FELDA Panching Selatan. FOTO ihsan PKGK
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang berjaya memindahkan gajah jantan dianggarkan seberat 2.5 tan di kawasan Felda Panching Selatan, di sini, semalam.

Haiwan berkenaan sebelum ini ditemui berkeliaran di tepi Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan kawasan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman, berkata pihaknya menangkap gajah jantan terbabit selepas mendapat aduan penduduk setempat yang melihat kehadiran haiwan itu.

Menurutnya, gajah berkenaan dipercayai terpisah daripada kumpulan besar antara 30 hingga 40 ekor yang menjadikan Hutan Simpan Remen Chereh, di sini, sebagai kawasan habitat semulajadi.

"Kita mengambil masa kira-kira tujuh jam bagi memindahkan gajah jantan terbabit dengan bantuan dua denak iaitu Suria dan Indah.

"Keadaan laluan berlumpur antara cabaran sepanjang operasi yang bermula 9 pagi untuk memindahkan gajah terbabit ke habitat asal," katanya.

Operasi berkenaan disertai 19 kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Pusat Konservasi Gajah Terengganu (PKGT) Sungai Deka dan Perhilitan Johor.

Katanya, ia adalah gajah yang ke-10 yang ditangkap di negeri ini selepas seekor gajah jantan ditangkap dalam hutan kecil berhampiran Taman Pandan Perumahan Damai, di sini, Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 3:17 PM