Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman


Jerantut: “Jika mahu dikira memang tidak ternilai sumbangan kerajaan untuk peneroka sejak mula tanah rancangan dibangunkan sehingga kini.

“Malah, manfaat itu dinikmati pula anak dan cucu yang juga generasi kedua serta ketiga daripada kemudahan pekerjaan sehingga pendidikan,” kata Badion Onterang, 73.

Badion ialah peneroka dari FELDA Sungai Tekam Utara, di sini, ahli veteran UMNO di kawasan berkenaan.

Bapa kepada lima anak itu berkata, dia sudah lama menyertai parti yang memimpin negara ini sebelum menjadi ahli tanah rancangan pada 1971.

“Saya menjadi ahli pada usia 15 tahun yang ketika itu belum dikenali sebagai UMNO kerana tertarik dan melihat sendiri perjuangan dibawa pemimpin terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman yang bersungguh-sungguh mempertahankan maruah bangsa dan agama serta Tanah Melayu.

“Apatah lagi, sebelum itu saya melihat dengan mata sendiri kekejaman dilakukan komunis terhadap penduduk Tanah Melayu sehingga membuatkan saya bertekad tidak mahu keluar daripada UMNO kerana tidak mahu perkara sama berulang jika negara dipimpin parti lain selain UMNO,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Dia yang juga Ketua Cawangan UMNO di FELDA Sungai Tekam Utara (Barat) berkata, peneroka sepatutnya bersyukur kerana negara dipimpin kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat.

“Sebagai contoh, kerajaan sentiasa menjaga hal ehwal peneroka daripada soal pengurusan ladang sehingga khairat kematian, semuanya diuruskan.

“Jika di kawasan saya sendiri, kami ahli cawangan menubuhkan Skuad Penyayang bertujuan membantu ahli dan penduduk yang sakit atau memerlukan bantuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 4:52 AM