Nasharuddin Muhammad

Jumaat lalu, Ahli Parlimen veteran dari Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad diumumkan sebagai Pengerusi FELDA yang baru atau dalam bahasa Malaysia disebut Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP).

Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu sekali gus mengesahkan spekulasi dan khabar angin yang bertiup sebelum ini mengatakan FELDA bakal diterajui orang baru menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Sebagai generasi kedua yang pernah melalui suka-duka membesar di tanah rancangan, pelantikan Shahrir dilihat tepat pada masa dalam usaha mengembalikan semula keyakinan komuniti dan warga kerja akan hala tuju FELDA yang kini berusia lebih enam dekad sejak diasaskan pada 1956.

Hal itu kerana sebelum ini, terlalu banyak isu dan kontroversi melanda FELDA yang seolah-olah tiada kesudahan dan penyelesaian biarpun tidak dinafikan sebahagiannya mungkin hanya diada-adakan atau sengaja diperbesarkan oleh pihak tertentu bagi meraih populariti dan sebagainya.

Akibat kemelut yang melanda itu menyebabkan ramai masyarakat peneroka, termasuk generasi keduanya yang bersikap seolah-olah bagai kacang lupakan kulit hinggakan sampai satu peringkat, Felda secara terang-terangan menjadi sasaran serangan yang memburuk-burukkannya.

Ironinya, serangan dilakukan itu bukan sahaja oleh pihak yang mempunyai kepentingan dan agenda tertentu, malah lebih menyedihkan ia turut dilakukan oleh anak peneroka sendiri atas pelbagai alasan.

Begitulah keadaan menimpa FELDA sebelum ini. Sebagai sebahagian daripada generasi yang pernah membesar di tanah rancangan, sedikit sebanyak penulis amat memahami di sebalik keadaan yang berlaku.

Cuma tidaklah sampai ke tahap untuk memburuk-burukkan agensi yang pernah memberikan kehidupan kepada kita, seperti kata pepatah, tak kanlah kita mahu menggigit tangan yang pernah memberi kita makan.

Maka, keputusan melantik individu berpengalaman seperti Shahrir diharap mampu memberikan sinar kegembiraan semula kepada semua pihak berkepentingan sebelum keadaan menjadi begitu terlambat.

Betapa tidaknya, daripada sekitar 88 kerusi Parlimen yang dimenangi UMNO sebagai parti tunjang kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 yang lalu, hampir 60 kerusi datangnya dari kawasan yang majoriti pengundinya terdiri daripada warga FELDA.

Kerana itu, FELDA sebenarnya bukan sekadar sebuah agensi kerajaan semata-mata, sebaliknya ia nyawa dan talian hayat kepada kerajaan yang memerintah hari ini bagi berdepan cabaran pada PRU akan datang yang dijangka dilangsungkan pada tahun ini juga.

Penulis Pengarang Bisnes/IT Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 10:07 AM