myMetro

Kuantan: Kira-kira 5,800 warga Kuantan membanjiri padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1 sempena Hari Sarapan Terbesar MILO 2017, semalam.

Pegawai Eksekutif Perniagaan Unit Perniagaan MILO Philomena Tan berkata, bandar ini menjadi lokasi ke-5 program tahunan anjuran Nestle Malaysia dan akan ke Kota Bharu, Kelantan pada 6 Mei dan penutup di Putrajaya (14 Mei ini).

Beliau berkata sambutan memberangsangkan diterima tahun lalu di Taman Gelora, menjadikan Pahang antara pilihan destinasi program berkenaan.

“Kita tidak sangka penyertaan hari ini mencecah 5,800 peserta, ia melebihi sasaran asal pihak kami tetapkan iaitu 5,500 peserta mengambil bahagian.

“Memang satu pemandangan menarik di sini dan kita teruja dengan sambutan memberangsangkan diberikan warga Kuantan dalam menjayakan program ini.

“Sememangnya, ia usaha kita menekankan kepentingan sarapan dan melalui program ini di samping dapat memberi peluang kepada mereka untuk turut serta pelbagai aktiviti santai serta berfaedah,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.

Philomena berkata, MILO adalah penyokong dan peneraju dalam menggalakkan individu dan keluarga menjalani gaya hidup sihat dan acara tahunan terbabit sebahagian daripada komitmen Nestle terhadap masyarakat di negara ini.

Katanya, kempen tahun ini adalah memberi fokus kepada mendidik ibu bapa mengenai keperluan serta kepentingan tenaga harian sebenar yang diperlukan kanak-kanak.

“Selain memberikan sarapan percuma kepada orang ramai, acara larian sejauh tiga kilometer (km) membabitkan 2,800 peserta turut diadakan selain senamrobik, demostrasi penyediaan bento oleh Chef Selebriti, Brian dan cabutan bertuah serta pencarian harta karun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 9:00 AM