Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Lebih 20,000 peserta membanjiri Dataran Putrajaya di sini, untuk bersarapan dan menyertai pelbagai aktiviti menerusi Hari Sarapan Malaysia anjuran MILO.

Putrajaya adalah lokasi ketiga penganjuran program itu tahun ini selepas Ipoh, Perak dan Kuching, Sarawak masing-masing pada 12 dan 26 April lalu.

Pengarah Eksekutif Unit Perniagaan MILO, Philomena Tan berkata, Hari Sarapan Malaysia bertujuan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengamalkan tabiat pengambilan sarapan yang sihat dan gaya hidup aktif.

Katanya, program ini bukan sekadar menjadi perhimpunan sarapan yang besar, tetapi ia satu inisiatif untuk menggalakkan rakyat Malaysia menikmati sarapan kerana ia memainkan peranan penting untuk memulakan hari.

"Tidak mengambil sarapan akan mengurangkan tenaga yang diperlukan oleh kanak-kanak untuk kekal fokus dan peka memandangkan mereka kehilangan 80 peratus tenaga simpanan ketika bangun tidur.

"Jadi, sarapan yang sihat dengan nutrisi sewajarnya penting untuk membantu mengembalikan tenaga dan membolehkan mereka menjalani hari dengan lebih produktif," katanya ketika ditemui media di sini.

Selain bersarapan, peserta turut menyertai larian sejauh tujuh dan tiga kilometer (km), serta membabitkan diri dalam pelbagai aktiviti yang disediakan pihak penganjur.

Philomedia berkata, pihaknya turut merancang untuk mengadakan program ini di Johor tahun ini, dan ketika ini sedang mengenalpasti lokasi bersesuaian untuk penganjurannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 11:12 AM