RIBUAN peserta menyertai  Larian Hari Sarapan Malaysia MILO 2018 di Padang USM, semalam.
RIBUAN peserta menyertai Larian Hari Sarapan Malaysia MILO 2018 di Padang USM, semalam.
Syed Ismail Syed Abu Bakar

Georgetown: Hujan renyai pada awal pagi tidak melemahkan semangat lebih 7,500 peserta yang membanjiri padang Universiti Sains Malaysia (USM), Minden, di sini, sempena Hari Sarapan Terbesar Milo, semalam.

Program bermula jam 7.20 pagi dengan acara memanaskan badan diikuti larian sejauh tiga kilometer dilepaskan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Prof Ir Dr Rahman Mohamed yang mewakili Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Asma Ismail.

Acara anjuran Nestle Malaysia itu diadakan bagi mendidik orang ramai mengenai kepentingan dan keperluan tenaga harian mereka dengan kadar pengambilan sarapan setiap hari.

Pengurus Penjenamaan Kanan Unit Perniagaan Milo Nestle Products Sdn Bhd Nuraina Tajuddin berkata, buat julung kalinya acara larian itu berkonsepkan amal jariah apabila RM5 daripada setiap penyertaan akan disalurkan kepada penajaan sarapan pagi bagi keluarga kurang bernasib baik di semua tujuh lokasi penganjuran acara berkenaan di seluruh negara.

DR Rahman  (kiri) melepaskan peserta larian santai hari sarapan Malaysia MILO 2018.
DR Rahman (kiri) melepaskan peserta larian santai hari sarapan Malaysia MILO 2018.

“Kita menerima penyertaan kira-kira 3,500 orang bernilai RM17,500 dan hasil kutipan itu akan disalurkan menerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dikenali Yayasan Bantuan Makanan dengan sasaran bagi membekalkan sarapan kepada golongan miskin serta kurang bernasib baik.

“Memandangkan sambutan memberangsangkan diterima membuatkan kita mahu meneruskannya kerana ramai rakyat Malaysia belum mengubah tabiat sarapan mereka,” katanya ketika ditemui, semalam.

Malaysia Breakfast Day atau Hari Sarapan Malaysia bersama Milo kali pertama diperkenalkan pada 2013 dengan misi menerapkan kepentingan sarapan sebagai sumber tenaga penting untuk menakluki hari.

Kini, inisiatif itu diperkenalkan ke pelbagai lokasi di seluruh negara bagi membolehkan berjuta rakyat Malaysia aktif bersama melalui aktiviti mesra keluarga sambil menikmati Milo secara percuma.

Nuraina berkata, Hari Sarapan Milo 2018 memasuki ulang tahun keenam dan Pulau Pinang adalah lokasi keempat dengan sasaran kempen untuk terus menyampaikan mesej mengenai kepentingan sarapan dan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat negara ini.

Katanya, pelbagai acara menarik disusun termasuk senamrobik, permainan gaya bebas pemain bola sepak profesional, pasukan sorak dan cabutan bertuah.

“Selain itu, sesi masakan sarapan berkhasiat dan kreatif acara sukan seperti bola sepak sasaran serta tarian buluh tradisional turut diperkenalkan kepada orang ramai,” katanya.

REMAJA yang menyertai  larian Hari Sarapan Malaysia MILO 2018 teruja.
REMAJA yang menyertai larian Hari Sarapan Malaysia MILO 2018 teruja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 10:41 AM