YEO (kanan) melambai kepada sebahagian peserta larian sempena Hari Sarapan Terbesar Milo 2017.
YEO (kanan) melambai kepada sebahagian peserta larian sempena Hari Sarapan Terbesar Milo 2017.
Amniera Naziera Amran

Kota Kinabalu: Seramai 4,200 orang membanjiri Padang Ragbi Tanjung Aru sempena Hari Sarapan Terbesar Milo 2017, semalam.

Bermula jam 6 pagi, orang ramai yang rata-ratanya datang dengan keluarga menyertai pelbagai aktiviti termasuk menikmati sarapan Milo di tepi pantai.

Selain itu, 1,700 orang menyertai acara larian tiga kilometer di kawasan pantai Tanjung Aru.

Mereka turut berpeluang menyertai kelas penyediaan sarapan yang dikendalikan khas oleh peserta MasterChef Malaysia musim pertama, Brian Chen atau lebih mesra dengan panggilan Abang Brian.

Acara turut dimeriahkan dengan tarian zumba, aktiviti mencari harta karun dan pelbagai aktiviti sukan.

Pengurus Pemasaran Pengguna Unit Perniagaan Milo Nestle Malaysia, April Wong berkata, acara itu bertujuan mendidik ibu bapa mengenai kepentingan sarapan dan fungsinya dalam memenuhi kehendak tenaga harian yang diperlukan kanak-kanak.

“Kami teruja kerana aktiviti yang diadakan buat kali kedua di negeri ini masih mendapat sambutan memberangsangkan daripada masyarakat di sini.

“Acara demikian adalah komitmen pihak kami dalam usaha meningkatkan kualiti hidup dan memberi pendedahan kepada masyarakat kepentingan sarapan itu sendiri khususnya kepada kanak-kanak,” katanya ketika ditemui, semalam.

Hadir sama, Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai dan Pengurus Kesihatan Korporat Nestle Malaysia Berhad Cher Siew Wei.

Mengulas Hari Sarapan Terbesar Milo 2017, Wong berkata, pihaknya menyasarkan penyertaan kali ini melebihi 55,000 penyertaan di enam lokasi di seluruh negara pada tahun ini.

Beliau berkata, selepas Kota Kinabalu, program itu akan diadakan Kuching, Johor, Kuantan, Kota Bharu dan Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2017 @ 12:10 AM