Anthony Loke mempamerkan NPI Siri FFF yang dibuka untuk bidaan selama lima hari mulai hari ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Anthony Loke mempamerkan NPI Siri FFF yang dibuka untuk bidaan selama lima hari mulai hari ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Pengumpul koleksi Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) kini berpeluang memiliki siri FFF dengan bidaan dibuka secara rasmi hari ini.

NPI Siri FFF dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke hari ini di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia di sini, bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ke-78.

"Bidaan akan diadakan selama lima hari secara dalam talian di Sistem JPJeBid bermula hari ini dan berakhir 15 Mei 2024 jam 10 malam.

"Keputusan penawaran pula akan diumumkan pada 16 Mei ini," katanya dalam ucapan ketika merasmikan Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ Ke-78, di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia (APJM) Ayer Molek hari ini.

Sementara itu, pada sidang medianya Anthony berkata, siri FFF adakan kesinambungan daripada siri 'F' yang diperkenalkan setiap tahun pada sambutan ulang tahun JPJ.

"Kita pernah keluarkan siri F, FA, FB dan FC, dan tahun lalu FF. Kita berpendapat nombor abjad sama ini amat menarik minat orang ramai, justeru tahun ini kita perkenalkan siri FFF.

"Tahun lalu, siri Gold, memberi pulangan sebanyak RM17 juta dan kali ini kita harap kutipan bidaan boleh mencecah RM20 juta," katanya.

Beliau berkata, bidaan yang dibuat bertujuan menjana dana tambahan bagi tujuan inisiatif rakyat seperti topi keledar percuma, caruman 'top-up' Perkeso untuk 40,000 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah, tajaan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan B2 untuk masyarakat B40.

"Pertukaran topi keledar percuma ini amat diminati dan mendapat sambutan baik dalam setiap program yang kita laksanakan. Dengan kos RM50 kita mahu orang ramai menggunakan topi keledar yang selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2024 @ 3:31 PM