PESERTA  fun run memulakan larian pada awal pagi sempena Hari Sarapan Malaysia MILO di Stadium Sarawak, semalam.  FOTO L. Manimaran
PESERTA fun run memulakan larian pada awal pagi sempena Hari Sarapan Malaysia MILO di Stadium Sarawak, semalam. FOTO L. Manimaran
Garret Dawum

SARAPAN pagi terbesar negara ini iaitu Hari Sarapan Malaysia MILO menutup tirai di Kuching, Sarawak dengan kehadiran kira-kira 10,000 peserta di Stadium Sarawak, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif, Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, selepas enam lokasi dengan Kuching sebagai lokasi terakhir, pihaknya berjaya merekodkan jumlah penyertaan teramai iaitu 100,000 peserta.

“Penganjuran tahun ketujuh sangat membanggakan kami dan ini membuktikan usaha berterusan kami untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan bersarapan dengan sihat dan berkhasiat mendapat perhatian.

“Justeru saya berpendapat aktiviti sebegini penting kepada kita dan rakyat sudah menunjukkan semangat mereka untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan makanan seimbang,” katanya.

Selain bersarapan, larian fun run sepanjang tiga kilometer antara yang mendapat sambutan termasuk zumba dan aktiviti lain untuk keluarga serta berunsurkan pendidikan.

Malah, MILO turut menampilkan kelainan dengan menyediakan aktiviti untuk meningkatkan kesedaran kitar semula dalam kalangan masyarakat.

Bagi meneruskan usaha memupuk amalan sihat dalam kalangan pengguna, MILO turut bekerjasama dengan Persatuan Dietitian Malaysia (MDA) pada kempen Hari Sarapan Malaysia MILO yang menawarkan pemeriksaan Indeks Jisim Tubuh (BMI) dan sesi Ask A Dietitian menyediakan khidmat perundingan mengenai diet serta penyakit berkaitan kepada peserta.

Pada masa sama, MILO turut meneruskan kerjasama dengan Food Aid Foundation dan sebahagian dana yang dikumpul daripada larian Hari Sarapan Malaysia MILO akan dimanfaatkan untuk membantu misi Food Aid Foundation menyediakan pilihan sarapan pagi yang sihat kepada keluarga kurang berkemampuan di seluruh negara.

KAKITANGAN Nestle menyediakan sarapan kepada peserta. FOTO L. Manimaran
KAKITANGAN Nestle menyediakan sarapan kepada peserta. FOTO L. Manimaran

Enam lokasi yang disinggahi MILO sebelum ini ialah Putrajaya, Pulau Pinang, Batu Pahat Johor, Kuantan, Pahang, Kota Bharu, Kelantan dan Kota Kinabalu, Sabah.

Turut hadir dalam acara itu ialah Pengarah Eksekutif Unit Perniagaan Milo dan Susu, Nestlé Products Sdn Bhd, Kumaran Nowuram; Pengurus Kilang Kuching, Nestlé (Malaysia) Berhad, Abdul Razif Mohd Nurin; Pengurus Pemasaran Pengguna MILO®, Maria Murni Nur Azmi; Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Abdul Wahap Haji Abang Julai; Pengasas Food Aid Foundation Rick Chee dan Pengurus Operasi Jualan Am, Sarawak, Nestlé (Malaysia) Berhad, Lee Tsuen Fu.

Sementara itu, seorang peserta, Khairunisa Mohamad, 42, berkata, dia tidak ketinggalan menyertai program larian MILO bersama suami dan tiga anaknya yang berusia dua hingga 12 tahun.

“Larian ini adalah satu aktiviti yang mampu memupuk amalan gaya hidup sihat kami sekeluarga.

“Selain itu, saya juga ingin memberi pendedahan kepada anak-anak saya untuk memulakan rutin harian dengan sarapan berkhasiat agar kekal bertenaga,” katanya.

Seorang lagi peserta, Flinia Cecelia Andrew, 28, berkata, penyertaannya dalam program itu sebagai langkah menggalakkan gaya hidup sihat dalam dirinya.

“Malah, saya lihat program ini sebagai platform menyatukan keluarga untuk bersama mempelajari kepentingan sarapan pagi yang sihat dan seimbang sebagai sumber tenaga untuk memulakan kehidupan harian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 9:23 AM