SERAMAI 220 pelajar bakal menduduki SPM menyertai MFT 2022 di Melaka.
SERAMAI 220 pelajar bakal menduduki SPM menyertai MFT 2022 di Melaka.
Meor Riduwan Meor Ahmad

Bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kekal menjadi keutamaan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) melalui penganjuran program motivasi dan kesedaran, Melaka Future Talent 2022 (MFT 2022) baru-baru ini. 

Program kerjasama selama tiga tahun antara Petronas, bersama anak syarikatnya Malaysian Refining Company Sdn Bhd (MRCSB) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka disertai 220 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dari 11 sekolah sekitar Melaka.

Pengurus Besar Petronas Selatan, Mohd Zaki Mahat berkata, penganjuran MFT 2022 bermatlamat membimbing dan menyokong pembangunan serta pembentukan generasi pemimpin negara masa depan.

Katanya, MFT adalah program terkini daripada beberapa inisiatif memfokuskan pendidikan dilaksana saban tahun termasuk Didik UPSR Berita Harian dan Kem Motivasi SPM.

"Menerusi MFT, pelbagai aktiviti dijalankan termasuk slot Sembang Santai Kerjaya bersama sukarelawan Petronas yang mana murid didedahkan dengan pelbagai kerjaya dalam Petronas. 

"Kami sediakan sesi penerangan Program Penajaan Pendidikan Petronas serta kursus ditawarkan oleh Universiti Teknologi Petronas.

"Diharap segala usaha dan bakti melalui program seperti ini memberi cetusan motivasi, ilham serta perkongsian pengetahuan bermakna kepada semua peserta ," katanya.

PESERTA mengambil bahagian dalam aktiviti yang disediakan.

Sementara itu, beberapa peserta ditemui memuji penganjuran program sebagai berinformasi termasuk ceramah motivasi dan perkongsian penajaan pendidikan serta kerjaya bersama syarikat minyak itu.

Muhammad Nazmi Amsyar, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tanjung, Tangga Batu, dekat sini, berkata, dia berasa kagum dengan pengalaman kerja diceritakan kakitangan Petronas.

"Saya kini lebih jelas mengenai usaha syarikat besar ini dalam mencari bakat baharu pelajar yang mungkin boleh mencorak masa depan negara dalam bidang STEM.

"Walaupun mulanya tidak berminat, saya teruja menjadi jurutera penggerudian kerana tertarik dengan kemudahan diterima pekerja Petronas seperti dikongsikan mereka.

"Mereka tidak lokek ilmu bercerita kelebihan dan keseronokan bekerja di Petronas membuatkan kami amat teruja," katanya.

Justeru, kata Muhammad Nazmi, dia bertekad mencapai keputusan cemerlang dalam SPM kelak bagi merebut peluang ditawarkan termasuk pembiayaan pendidikan.

"Saya akan berusaha walaupun sedar bukan mudah mencapai kriteria minimum pun bagi mendapat biasiswa Petronas.

"Bagi saya peluang yang datang hanya sekali dalam hidup ini tidak harus dipersia- siakan," katanya.

Seorang lagi peserta, G Arrwhiin, 17, dari SMK Simpang Bekoh, Jasin, pula menyifatkan pengisian MFT 2022 dan penyampaian penceramah jelas dan mudah difahami termasuk cara pengiraan merit Unit Pusat Universiti (UPU) bagi kemasukan Universiti Awam. 

"Saya bertuah terpilih bersama rakan sekolah menghadiri program ini dan banyak perkara kami belajar.

"Penerangan cara untuk skor dan mata pelajaran patut ditumpu dalam SPM misalnya amat berguna bagi memudahkan permohonan ke universiti kelak," katanya.

AKTIVITI perbincangan berkumpulan memberi peluang kepada peserta menzahirkan idea dan memupuk keyakinan diri.

Mengulas lanjut, Arrwhiin berkata, sesi perbincangan berkumpulan bersama fasilitator Petronas mencetus inspirasi kepada pelajar berhubung peluang kerjaya.

"Memang seronok dengar dan dapat bertanya terus kepada mereka yang berpengalaman dalam bidang minyak dan gas," katanya.

Seorang lagi pelajar, Hasrul Nazwan Ahmad Fadzil,17, dari SMK Kem Terendak berkata, biarpun program hanya sehari, ia berjaya membuka mindanya untuk merancang masa depan.

Katanya dia tidak menyangka terpilih menyertai program itu kerana difahamkan penganjur hanya memilih pelajar aliran sains.

"Menariknya dalam program ini tips pengiraan merit mata pelajaran diajar secara tidak langsung membantu saya fokus kepada pelajaran.

"Peserta diberi pengetahuan apa yang boleh diceburi selepas SPM dan kelulusan minimum diperlukan ," kata pelajar aliran sastera itu yang bercita-cita mendalami bidang kejuruteraan komputer.

Dalam pada itu, Guru Kaunseling SMK Dato' Abdul Rahman Ya'kub, Jasin, Ezummi Ali menyifatkan MFT 2022 amat baik dan berinformasi kepada pelajar.

Katanya, beliau tertarik mengenai Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) yang memberi biasiswa kepada pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka di dalam dan luar negara.

"Pelajar dapat mendengar perkongsian langsung oleh kakitangan Petronas, sekali gus memberi pengetahuan dan motivasi kepada mereka untuk berusaha gigih merebut peluang disediakan.

"Selepas dua tahun tiada program sebegini akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pelajar dapat pengetahuan baru dan boleh berkongsi dengan kawan - kawan lain di sekolah ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 4:52 PM