PELAJAR tidak melepaskan peluang bergambar bersama tokoh yang hadir.
PELAJAR tidak melepaskan peluang bergambar bersama tokoh yang hadir.

Seramai 100 pelajar dari tiga sekolah menengah memperoleh dorongan motivasi apabila menyertai Program Bicara Profesional Bersama Tokoh Kokurikulum di Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah (SMKIS), Parit, Perak, baru-baru ini.

Program yang dihadiri pelajar dan guru dari Sekolah Menengah (SM) Agama Maahad Al Aziz, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Muhammad Shah dan SMKIS sebagai tuan rumah menampilkan pendayung solo negara Murad Mohd Kassim, Penasihat Kelab Ekspedisi 7 Benua (KE7B) Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof dan pendaki tujuh benua merangkap Presiden KE7B, Muhammad Muqarrabin Mohtaruddin.

Akmar Hisham yang juga bekas pelajar SMKIS berkata, program itu memberi semangat dan inspirasi kepada pelajar supaya berani mencabar diri untuk berdepan cabaran.

“Program ini menjadi platform membantu pelajar memperkukuhkan semangat jati diri, sekali gus mempertingkatkan keupayaan dalam usaha mencapai kejayaan.

“Semoga perkongsian ini memberi pelbagai maklumat dan membuka minda mereka bahawa semua boleh mencapai kejayaan asalkan usaha gigih dan semangat padu,” katanya.

Pengetua SMKIS Omar Din berkata, program itu menampilkan tokoh terkemuka yang mengharumkan nama negara untuk berkongsi pengalaman bersama pelajar.

Menurutnya, program itu mampu menyuntik motivasi kepada pelajar, mendedahkan kepentingan kegiatan kokurikulum selain menanam sifat kerjasama, bertolak ansur dan ukhuwah dalam kalangan pelajar.

“Selain perkongsian pengalaman, program ini mampu menyuntik dan memupuk nilai murni dalam usaha melahirkan generasi berperibadi positif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 5:01 AM