RUMAH yang didiami  suspek  bersebelahan kediaman mangsa di Felda Sungai Tiang.
RUMAH yang didiami suspek bersebelahan kediaman mangsa di Felda Sungai Tiang.
Nur Syazwana Mansor


Pendang: “Sebaik azan Maghrib berkumandang, kami tiba-tiba dikejutkan bunyi tendangan pada pintu dapur, lantas ayah melihat dan mendapati pintu terbuka manakala Pak Su (suspek) berada di depan pintu dengan parang panjang,” kata Husna Muhamad Yusob, 25, anak sulung pasangan suami isteri yang parah akibat ditetak saudara lelaki di Felda Sungai Tiang, kelmarin.

Dalam kejadian 7. 30 malam itu mangsa, Muhamad Yusob Abdullah, 55, dan isterinya Zaiton Mohamad Salleh, 52, yang cedera di pergelangan tangan dan kepala akibat tetakan itu berada di ruang tamu bersama tiga anak perempuan berusia 20 hingga 25 tahun serta seorang cucu perempuan berusia tiga tahun.

Husna berkata, kami berehat di ruang tamu sebelum dikejutkan bunyi tendangan kuat dari pintu dapur.

Katanya, ayahnya bergegas memeriksa dan mendapati pintu terbuka akibat ditendang kali kedua sebelum dia diserang suspek yang juga adik kandung bapanya.

“Pak Su tetak kepala ayah dengan parang ketika cuba ambil kerusi untuk mempertahankan diri namun parang itu terkena tangan kanan ayah.

“Ibu yang ketakutan berlari ke bilik namun tidak sempat menutup pintu apabila diserang suspek yang turut bergelut dengan ayah yang cuba membantu ibu,” katanya di rumahnya, di sini, semalam.

Husna berkata, dalam keadaan kelam-kabut, dia berlari keluar melalui pintu dapur untuk meminta bantuan jiran manakala dua lagi adik perempuannya lari ke arah pintu depan.

“Kami berpecah menyelamatkan diri masing-masing, sekali gus meminta bantuan jiran. Saya bergegas masuk semula ke rumah mengambil anak serta melihat keadaan ibu dan ayah,” katanya.

Katanya, suspek yang mendengar jeritan mereka meminta tolong melarikan diri manakala ibu dan ayah dibawa ke Klinik Kesihatan Pendang oleh jiran sebelum dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan.

Mereka sekeluarga tidak tahu motif bapa saudaranya itu bertindak agresif kerana tiada pertelingkahan berlaku antara mereka sekeluarga sebelum kejadian.

Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai penoreh getah tidak pernah berkahwin dan tinggal sendirian di rumah peninggalan arwah nenek mereka bersebelahan rumah mereka.

“Suspek seorang penagih dadah dan kami jarang bersua dengannya meskipun tinggal berdekatan. Dia tidak suka kami campur urusannya, malah kami dilarang masuk kawasan tempat tinggalnya sejak arwah nenek meninggal dunia.

“Selalunya dia marah-marah sahaja dengan kami, itupun disebabkan isu remeh seperti sampah-sarap namun tidak sangka dia sanggup bertindak ganas. Kejadian ini amat mengejutkan namun lega apabila suspek ditahan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Kedah, Datuk Nashir Ya ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, suspek berusia 43 tahun dan dipercayai penagih dadah itu ditahan di rumahnya di Felda Sungai Tiang, jam 1.30 pagi semalam.

“Susulan laporan diterima jam 9 malam, sepasukan polis melakukan siasatan dan menahan suspek jam 1.30 pagi tadi (semalam),”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 8:38 AM