DAUN ketum yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan Polis
DAUN ketum yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan Polis
Zuliaty Zulkiffli

TINDAKAN remaja lelaki memecut kenderaannya sebaik menyedari diekori polis membongkar rahsia dia membawa daun ketum seberat 200 kilogram (kg) di Sungai Tiang, dekat Pendang, hari ini.

Bagaimanapun, tindakan suspek berusia 18 tahun sia-sia selepas dia ditahan, selepas dikejar polis hampir 40 kilometer sehingga ke Kampung Lubuk Pagar, Sik.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, ketika kejadian, anggotanya yang melakukan rondaan bertembung sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, pemandunya enggan memberhentikan kereta selepas diarah berbuat demikian.

“Suspek bertindak memecut kenderaannya dan cuba melarikan diri dengan memandu secara berbahaya ke arah Jeniang.

“Anggota kami terus mengejar kenderaan suspek sehingga ke Kampung Lubuk Pagar, Sik dan cuba memintas kenderaan terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arriz berkata, kenderaan suspek kemudian memasuki jalan kampung dan menghala ke ladang sawit sebelum melanggar pokok sawit menyebabkan ia terbabas.

Katanya, suspek akhirnya berjaya ditahan ketika cuba keluar melalui tingkap pintu sebelah pemandu.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemui daun ketum yang dibaluti plastik lut sinar seberat kira-kira 200 kg di atas tempat letak kaki bahagian penumpang hadapan, di tempat duduk penumpang belakang dan di bahagian but kereta.

“Suspek dan daun ketum bernilai RM6,000 itu kemudian dirampas dan dibawa ke IPD Pendang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Semakan rekod mendapati suspek yang berasal dari Raub, Pahang, tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 8:09 PM