Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kesesakan lalu lintas tidak mengira masa di ibu negara mencetuskan idea kepada dua sahabat menawarkan alternatif pengangkutan murah, pantas dan mudah, Dego RIDE yang menggunakan motosikal.

Mengambil inspirasi penunggang motor ojek di Indonesia, idea pengasas teksi motosikal itu, Nabil Feisal Bamadhaj, 33, dan pengasas bersamanya Shairazi Sulastry, 31, ternyata sangat ditunggu-tunggu pengguna yang mahukan kemudahan pengangkutan murah, pantas dan mudah dan secara tidak langsung menjadi pelengkap kepada kemudahan pengangkutan rel sedia ada seperti komuter, monorel dan LRT.

Nabil berkata, pihaknya bukan saja mengenakan tambang serendah RM2.50 dari stesen pengangkutan awam itu dengan topi keledar penumpang disediakan, malah ke mana saja sejauh tiga kilometer (km) setiap trip sekitar Lembah Klang.

“Hari pertama beroperasi Khamis lalu (17 November) kami menerima hampir 300 tempahan daripada pelanggan.

“Buat masa ini kami mempunyai 1,500 penunggang Dego RIDE yang bersedia memberikan perkhidmatan Teksi-Motor ini. Mudah saja hanya taip RIDE di aplikasi WhatsApp dan hantar ke 017-3889269.

“Kami amat mengalu-alukan penunggang motosikal yang berminat terutama Lembah Klang untuk turut sama menjadi penunggang Dego-RIDE dengan taip RIDER di aplikasi WhatsApp dan hantar ke 011-23642446,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di Taman Maluri, di sini, semalam.

Nabil berkata, selain murah, pantas dan mudah, kelebihan menggunakan kemudahan itu adalah orang tersayang seperti isteri, ibu atau waris boleh mengetahui lokasi penumpang menerusi bantuan aplikasi pengesanan yang akan dihantar secara automatik kepada nombor yang dikehendaki.

Ditanya sekiranya penumpang meminta dihantar ke lokasi lebih tiga km, Nabil menjelaskan itu atas dasar perbincangan antara penumpang berkenaan bersama RIDER.

“Harga kami tetap iaitu RM2.50 sejauh tiga km. Penumpang perlu jelaskan bayaran kepada RIDER sebaik saja sampai ke destinasi.

“Sebenarnya syarikat kami MyInteractiveLab Sdn Bhd sebelum ini menyediakan Dego Send iaitu khidmat penghantaran barang serta dokumen sejak September 2015 melalui motosikal, namun atas permintaan tinggi untuk menghantar penumpang kami sahut hasrat itu,” katanya.

Menurutnya, mereka memiliki RIDER lelaki dan perempuan untuk memberikan pilihan dan keselesaan kepada pengguna.

Beliau berkata, tahun hadapan pihaknya bercadang meluaskan perkhidmatan teksi motosikal itu di Pulau Pinang khususnya bahagian pulau selepas mendapat maklum balas penduduk di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 11:09 AM
PENUMPANG diberikan topi mandi untuk kebersihan sebelum memakai topi keledar.
PENUMPANG diberikan topi mandi untuk kebersihan sebelum memakai topi keledar.
BAKAL luaskan perkhidmatan Dego Ride ke Pulau Pinang
BAKAL luaskan perkhidmatan Dego Ride ke Pulau Pinang
MEREKA memiliki RIDER lelaki dan perempuan untuk memberikan pilihan dan keselesaan kepada pengguna.
MEREKA memiliki RIDER lelaki dan perempuan untuk memberikan pilihan dan keselesaan kepada pengguna.