ROSLINA menyorong suaminya dengan menggunakan papan beroda untuk ke bilik air.
ROSLINA menyorong suaminya dengan menggunakan papan beroda untuk ke bilik air.
Nazdy Harun

Hulu Terengganu: “Sejak dua tahun lalu saya terpaksa menggunakan papan beroda untuk membolehkan suami ke bilik air berikutan penggunaan kerusi roda sukar terutama untuk mengangkatnya,” kata Roslina Ibrahim, 56, dari Kampung Dusun.

Beliau berkata, suaminya yang juga veteran tentera, Mamat Mahmmud, 66, diserang angin ahmar dan saluran jantung tersumbat sejak lapan tahun lalu, sekali gus menyebabkannya terlantar.

Katanya, keadaan itu membuatkan pergerakannya terbatas terutama untuk ke bilik mandi dan bilik air yang memerlukannya dibantu seseorang.

“Semua lapan anak kami pula yang berusia 15 hingga 34 tahun tinggal berasingan kerana bersekolah dan bekerja menyebabkan saya perlu menggunakan papan beroda bagi mengangkat dan membawa suami ke bilik air.

“Sebelum ini, anak-anak membantu mengangkat suami ke atas kerusi roda, tetapi selepas ada anak tinggal di asrama selain bekerja di luar, saya terpaksa menempah papan beroda ini bagi kemudahan menguruskan suami,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Hulu Terengganu yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari bersama rombongan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) di rumahnya, semalam.

Menurutnya, tiga anaknya masih belajar manakala yang lain tinggal berjauhan dan memandangkan faktor itu, tercetus idea untuk menempah papan beroda itu dari sebuah bengkel berhampiran kampungnya.

Katanya, dia menempah papan beroda itu dengan harga RM300 dan tidak menggunakan kerusi roda sejak dua tahun kebelakangan ini, tetapi papan beroda itu diletakkan alas yang tebal bagi keselesaan suaminya.

Roslina berkata, dia berterima kasih kepada pihak berkaitan kerana sudi menjenguk keluarganya dan kunjungan itu dapat mengeratkan pertalian antara ahli veteran tentera walaupun suaminya kini tidak mampu berjalan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 10:21 AM