KEMALANGAN maut di antara sebuah kereta dan lori di Kampung Badong Jalan Pekan-Rompin.
KEMALANGAN maut di antara sebuah kereta dan lori di Kampung Badong Jalan Pekan-Rompin.
Shahrul Nizam Mohamad


Pekan: Seorang ejen insurans terbunuh selepas kereta Honda Civic dipandunya terbabas lalu bertembung sebuah lori sebelum kenderaan berat itu terbalik dan dirempuh Proton Saga di Kilometer 63, Jalan Pekan-Rompin, dekat Nenasi, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari, mangsa, Samzilah Mohamad, 39, berasal dari Batu 3, Jalan Gambang, di sini, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Rompin.

Dua anak Samzilah, Yasmin Sofiah Mahfduz, 10, dan Marisa Amani, 7, masing-masing mengalami kecederaan parah di kepala dan dibantu orang awam serta dikejarkan ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, pemandu lori, Tan Yee Shen, 21, berasal dari Jalan Pasar, Kuala Rompin patah kaki kiri manakala kelindannya, Low Kian Tak, 39, patah kedua-dua kaki.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Samzilah yang dalam perjalanan ke Rompin dari Pekan hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, lori dipandu Tan yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu bertembung kereta dipandu Samzilah menyebabkan kenderaan berat itu berpusing dan terbalik di tengah jalan.

Menurutnya, pada masa sama, sebuah kereta Proton Saga dinaiki tiga beranak turut merempuh belakang kenderaan berat itu namun mereka tidak mengalami kecederaan.

“Ketika kejadian, keadaan cuaca baik dan permukaan jalan kering.

“Polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2017 @ 5:26 AM