KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan Polis
KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan Polis
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Anggota tentera maut selepas kereta dipandu bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 11 Jalan Rompin-Jelai, berhampiran Pekan Rompin dekat sini, hari ini.

Anggota tentera dari Kem Syed Sirajuddin Gemas, Staf Sarjan Suhaimi Roslan, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, kemalangan 2.30 petang itu berlaku apabila Toyota Hilux dari arah Rompin ke Jelai dipercayai hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.

"Akibatnya, kenderaan itu bertembung dengan Proton Wira dipandu mangsa yang dipercayai dalam perjalanan pulang ke kem.

"Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia. Pemandu Toyota Hilux, Nur Faiz Zainordin, 20, cedera ringan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Jempol di sini, untuk bedah siasat esok.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 7:00 PM