PENGARANG Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar (kiri) beramah mesra dengan Zambri (dua dari kanan).
PENGARANG Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar (kiri) beramah mesra dengan Zambri (dua dari kanan).
myMetro

Kuala Lumpur: Lebih tumpuan kepada kepemimpinan pelajar. Visi itu ditetapkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sepanjang tahun dalam usaha melahirkan lebih ramai pelajar mampu berdaya saing sama ada peringkat tempatan atau pun antarabangsa.

Presidennya Zambri Mohd Isa berkata, untuk itu, pelbagai program disusun pihaknya merangkumi latihan kepemimpinan secara langsung dan tidak langsung menerusi aktiviti sedia ada dengan penyertaan semua ahli di seluruh negara.

Katanya, pada peringkat permulaan, siri jelajah motivasi diadakan setiap tahun menjadi paltform kepada semua fasilitator GPMS berkongsi pengalaman dan kepakaran kepada pelajar.

“Kami melihat keperluan pelajar belajar menjadi pemimpin yang baik. Ia secara tidak langsung menjadikan mereka lebih yakin dan bergaul dengan masyarakat kerana ini komuniti kita.

“Sebelum ini, kami tumpukan kepada prestasi akademik saja menyebabkan aspek kepimpinan agak tertinggal. Sudahnya apabila memasuki fasa lain seperti pengajian tinggi, mereka tidak dapat membawa diri seperti mana sepatutnya. Jadi kami tidak mahu komponen ini tertinggal,” katanya ketika mengadakan kunjungan ke Balai Berita semalam.

Zambri berkata, selain itu GPMS meneliti cadangan mengadakan kempen membaca sebagai usaha membudayakan ilmu yang akan diadakan berterusan bermula Mac depan.

Katanya, ia inisiatif pihaknya bersama agensi kerajaan termasuk Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan yang akan dijalankan besar-besaran di seluruh negara.

“Setakat ini kami susun pengisian termasuk membudayakan pembacaan daripada sumber berkredibiliti, persoalan tular dalam masyarakat dan manfaat keseluruhan. Insya-Allah kami buat pengumuman nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 10:57 AM