MENTERI Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dijangka menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pagi esok untuk mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau sudah memaklumkan kepada Pejabat Sultan Perak untuk mengadap baginda pada jam 11 pagi di tempat yang akan dimaklumkan kemudian.
"Saya dan anggota Exco mengikuti secara langsung pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai pembubaran Parlimen esok di televisyen sebentar tadi.
"Kita akan ikut sama-sama membubarkan DUN sebagaimana diumumkan Perdana Menteri," katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri yang terakhir di pejabatnya Ipoh hari ini.
Zambry yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk penjawat awam, rakyat dan media yang sepanjang lima tahun lalu menyokong usaha kerajaan negeri dalam membangunkan Perak sehingga dikenali di peringkat antarabangsa.
"Kita sudah melakukan yang terbaik untuk membangunkan negeri bersama rakan-rakan lain membantu Perak maju ke hadapan dan berbangga dengan pencapaian ini terutama dengan pembentukan pasukan yang mantap sekali dan memberi natijah kejayaan di luar jangkaan.
"Gabungan pihak kepemimpinan, barisan Exco, wakil rakyat, jabatan dan agensi kerajaan, kakitangan awam dan rakyat keseluruhan menjadikan Perak berada pada tahap terbaik pada hari ini. Alhamdulillah," katanya.
Beliau berharap rakyat memberi kewajaran terhadap usaha dan kejayaan itu dengan meneruskan kesinambungan pemerintahan menerusi sokongan dan dokongan terhadap BN.
Zambry juga berkata, BN Perak akan melancarkan manifestonya selepas pelancaran manifesto BN pusat.
"Kita sudah buat beberapa siri perbincangan dan memperhalusi beberapa perkara agar ia selari dengan manifesto di peringkat kebangsaan," katanya.
Pada 2013, DUN Perak dibubar jam 3.10 petang pada 3 April, selepas mendapat perkenan Sultan Nazrin yang ketika itu Pemangku Raja Perak bagi memberi laluan PRU-13.
Baginda menandatangani Watikah Perkenan Pembubaran Dewan Negeri Perak Ke-12 yang diserahkan Zambry.
Pembubaran pada ketika itu dianggap bersejarah kerana pengumumannya dibuat sendiri pihak istana, berbanding secara tradisinya dilakukan Menteri Besar.