Kakitangan NSTP  mencuba Santan Combo Meal  percuma yang diedarkan di Balai Berita.
Kakitangan NSTP mencuba Santan Combo Meal percuma yang diedarkan di Balai Berita.
Garret Dawum


Kuala Lumpur: Kakitangan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) bertuah apabila mendapat makanan percuma daripada AirAsia Berhad (AirAsia), sempena promosi terbaru Santan Combo Meal di Balai Berita, semalam.

Kehadiran AirAsia bersama trak makanan dinanti penuh sabar oleh kakitangan yang berbaris seawal jam 10 pagi bagi mencuba hidangan terbaru dalam penerbangan AirAsia.

Ketua Komunikasi AirAsia Aziz Laikar berkata, pihaknya menyediakan pelbagai hidangan terbaru seperti nasi beriani ayam mentega masala Ashok, kari udang nyonya, makaroni keju bersama bebola ayam, karipap ayam dan sate ayam untuk 350 kakitangan
NSTP.

“Kedatangan kami ke Balai Berita hari ini (semalam), adalah untuk memperkenalkan kepada rakan media berkenaan hidangan terbaru yang disediakan dalam penerbangan AirAsia.

“Kami berbesar hati untuk pemberian makanan percuma kepada media yang tidak putus-putus menyokong aktiviti AirAsia selama ini,” katanya.

Menurutnya, Santan Combo Meal adalah hidangan yang perlu ditempah awal bernilai RM10 dan didatangkan dengan pilihan minuman seperti air mineral, air berkarbonat dan kopi.

“Makanan dan minuman dengan RM10 adalah satu perkara menarik. Inilah masanya untuk pelanggan kami menikmati hidangan dengan harga berpatutan dan berkualiti, selain perkhidmatan ketika bersama AirAsia,” katanya.

Maklumat lanjut berkenaan promosi itu boleh didapati di www.airasia.com, twitter.com/AirAsia dan facebook.com/AirAsia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 10:52 AM