CEF Residen AirAsia, Cef Calvin Soo (tengah) memperkenalkan hidangan Siri Cef Selebriti terbaharu - Ayam Pedas Manis Cef Hong bersama kru kabin AirAsia. FOTO Saifullizan Tamadi
CEF Residen AirAsia, Cef Calvin Soo (tengah) memperkenalkan hidangan Siri Cef Selebriti terbaharu - Ayam Pedas Manis Cef Hong bersama kru kabin AirAsia. FOTO Saifullizan Tamadi
Hafiz Ithnin


AIRASIA memperkenalkan satu lagi hidangan daripada siri Cef Selebriti, Ayam Pedas Manis Korea Cef Hong yang boleh didapati dalam menu Santan di dalam semua penerbangan.

Hidangan Ayam Pedas Manis Korea atau dalam bahasa Korea dikenali sebagai Dakgangjeong disajikan bersama nasi putih dan sayuran yang memberi lebih banyak pilihan kepada penumpang penerbangan tambang murah itu.

Malah, pengenalan hidangan itu adalah sentuhan pertama daripada personaliti televisyen dan pengusaha restoran terkemuka Korea, Cef Hong Seok-Cheon bersama AirAsia yang pastinya mementingkan hidangan terbaik kepada penumpangnya ketika berada di dalam pesawat.

Ketua Bahagian Inflight Kumpulan AirAsia Catherine Goh berkata, menyajikan cita rasa rantau ini dengan nilai hebat menjadi sebahagian daripada tawaran perkhidmatan AirAsia.

“Melihat budaya dan warisan Korea yang kini semakin popular di seluruh dunia, Cef Hong menghasilkan hidangan kegemarannya ketika zaman kanak-kanak iaitu Dakgangjeong dengan sentuhan tersendiri, untuk menawarkan pengalaman hidangan dalam penerbangan yang boleh dinikmati semua penumpang.

“Hidangan Korea juga kini semakin popular dan sentiasa mendapat permintaan tetamu. Justeru kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Cef Hong Seok-Cheon dengan menawarkan hidangan Korea yang terbaik dalam penerbangan kami,” katanya.

Penumpang AirAsia disarankan untuk membuat pratempahan kombo hidangan Dakgangjeong yang ditawarkan dengan minuman percuma dengan hanya RM10 untuk penerbangan AirAsia (kod penerbangan AK) dan RM15 untuk penerbangan AirAsia X (kod penerbangan D7) ke semua destinasi AirAsia.

Pratempahan hidangan Santan boleh dibuat melalui pautan ‘Tempahan Saya’ di airasia.com untuk menikmati lebih penjimatan, pelbagai pilihan hidangan dan keutamaan hidangan dalam pesawat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 9:42 AM