Rudy (dua dari kiri ) dan Chef Hong (dua dari kanan) menggigit burger sebagai simbolik pelancaran Burger INSPI (RED) untuk menu baru dalam pesawat AirAsia di Escape, Bangkok, hari ini. Foto Redzuan Muharam
Rudy (dua dari kiri ) dan Chef Hong (dua dari kanan) menggigit burger sebagai simbolik pelancaran Burger INSPI (RED) untuk menu baru dalam pesawat AirAsia di Escape, Bangkok, hari ini. Foto Redzuan Muharam
Redzuan Muharam


SYARIKAT penerbangan tambang murah, AirAsia memperkenalkan hidangan terbarunya dalam menu Santan, Burger INSPI (RED) yang boleh didapati dalam penerbangan ke semua destinasinya bermula hari ini.

Hidangan olahan resipi Chef selebriti, Hong Thaimee dihasilkan dengan kerjasama penyumbang kepada Dana Global dalam usaha menyokong program perjuangan memerangi HIV/AIDS.

Hong selaku Duta Chef (RED) yang kini menetap di New York, Amerika Syarikat berkata, dia hanya mengambil masa lima minit untuk mencipta resipi burger yang menggabungkan keunikan citarasa timur (perisa Thai) dan barat (burger klasik Amerika).

”Sejak saya memulakan langkah dalam bidang kulinari, misi dan matlamat saya adalah untuk membawa citarasa Thailand terutama daripada tempat kelahiran saya, Chiang Mai kepada khalayak ramai.

”Disebabkan itu, saya tidak berfikir panjang apabila ditawarkan oleh AirAsia untuk bekerjasama kerana menganggap inilah masanya merealisasikan impian itu.

”Diharapkan, hidangan ini dapat diterima baik dan dinikmati semua terutama lapan juta penumpang yang terbang bersama AirAsia setiap bulan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran di Bangkok, hari ini.

Sementara itu, Ketua Penjenamaan Kumpulan AirAsia Rudy Khaw berkata, pihaknya teruja kerana dapat menjalin kerjasama dengan Chef Hong untuk membawa RED ke udara menerusi hidangan terbaru itu.

“Kami sangat teruja kerana dapat memperkenalkan Burger INSPI (RED) untuk penumpang yang menaiki penerbangan syarikat.

”Walaupun lewat memulakan kerjaya masakannya, beliau (Chef Hong) bekerja keras dan mempunyai azam untuk menempa nama di luar negara, sama seperti AirAsia.

”Kerjasama itu ibarat gabungan dua personaliti ASEAN yang saling menyokong antara satu sama lain di rantau ini,” katanya.

Burger INSPI (RED) yang didatangkan bersama minuman percuma boleh didapati pada harga promosi RM10 menerusi pra tempahan di laman web, airasia.com, manakala RM12 untuk pembelian di dalam penerbangan ke semua destinasi.

Sebanyak 10 peratus daripada hasil jualannya pula akan disumbangkan terus kepada Dana Global bagi menampung kos ujian, kaunseling, rawatan dan program pencegahan AIDS di rantau ASEAN.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 10:26 PM