Mohd Sabran Md Sani

Pasir Gudang: “Syukur saya selamat dan hanya cedera pada jari dan kepala,” kata Shleyoha Omar, 63, selepas rumah sewa dihuninya di Jalan Pantai, Kampung Pasir Puteh roboh jam 9 malam, kelmarin.

Rumah kayu itu dibina di kawasan tebing dan roboh apabila tebing terbabit runtuh.

“Saya sedang menyiapkan makan malam sebelum berlaku gegaran. Saya terus berlari keluar untuk menyelamatkan diri, namun terjatuh sebelum badan tersepit dan terperangkap dalam runtuhan berkenaan,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Shleyoha yang tinggal seorang diri berkata, dia kerugian RM3,000 akibat tragedi itu.

“Walaupun cedera, saya tetap gembira kerana tujuh kucing peliharaan selamat,” katanya yang menyewa rumah berkenaan pada kadar RM220 sebulan.

Shleyoha kini menumpang di rumah abangnya yang terletak 100 meter dari situ.

Sementara itu, Ketua Kampung Pasir Puteh, Bachok Nohong berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu, jam 10 malam kelmarin.

“Ini kes pertama rumah penduduk roboh. Sebelum ini, 80 bumbung kediaman penduduk diterbangkan ribut dan semuanya sudah menerima bantuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2016 @ 6:32 AM
Shleyoha  menunjukkan rumahnya yang    roboh, malam kelmarin.
Shleyoha menunjukkan rumahnya yang roboh, malam kelmarin.