KASMIAH Lasake, 39, (kiri) bersama Malisah Durahman, 26, mengisi air  di rumahnya di  Taman Sungai Besi.
KASMIAH Lasake, 39, (kiri) bersama Malisah Durahman, 26, mengisi air di rumahnya di Taman Sungai Besi.
MUHAMMAD  Rizwan Yatim 26, melakukan persiapan menghadapi  masalah gangguan air di Taman Bukit Kinrara.
MUHAMMAD Rizwan Yatim 26, melakukan persiapan menghadapi masalah gangguan air di Taman Bukit Kinrara.
PENGUSAHA Al Yafa Katering, Ameer Batcha terpaksa menutup perniagaan selama semingu selepas mendapat notis gangguan air di Taman Selayang Baru.
PENGUSAHA Al Yafa Katering, Ameer Batcha terpaksa menutup perniagaan selama semingu selepas mendapat notis gangguan air di Taman Selayang Baru.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: Syarikat pengendali air perlu menaik taraf sistem jana kuasa kedua bagi menggelakkan gangguan bekalan air sepanjang kerja penyelenggaraan henti tugas Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Badong, Kuala Selangor hari ini.

Syarikat terbabit ialah Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua Pegawai Korporatnya, Datuk Roslan Ab Rahman berkata, sistem jana kuasa sokongan sedia ada tidak dapat menampung bekalan elektrik untuk operasi harian ketika kerja penyelenggaraan itu dilakukan.

“Kami akan memberi cadangan kepada SYABAS dan Air Selangor kerana tanggungjawab mereka sebagai pemilik aset itu (sistem jana kuasa kedua).

“TNB berperanan sebagai pemudah cara dan membekalkan kepakaran menaik taraf sistem jana kuasa kedua atau sokongan |di Loji Rawatan Air (LRA),” katanya dalam sidang media semalam.

Kerja penyelenggaraan henti tugas PMU Bukit Badong dilakukan hari ini yang dijangka mengambil masa 16 jam selepas ditangguhkan 27 September lalu.

Terdahulu, SYABAS menjelaskan gangguan bekalan air di sebahagian besar kawasan Lembah Klang berlarutan enam hari iaitu mulai hari ini hingga Sabtu.

Beliau berkata, kerja itu membolehkan penyelenggaraan dan pemasangan sistem perlindungan dapat dibuat dengan selamat di PMU di Kuala Selangor.

“Kerja ini dilakukan lagi tiga tahun akan datang, namun akan berbincang dengan SYABAS dan Air Selangor supaya masalah sama tidak berulang.

“Ini bagi memastikan pengguna tidak terjejas setiap kali kerja penyelenggaraan henti tugas PMU dilakukan,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan semalam, TNB menjelaskan henti tugas Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Badong hari ini bagi membolehkan kerja senggaraan dan pemasangan sistem perlindungan arka di PMU itu dapat dibuat dengan segera dan selamat.

Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi TNB, Datuk Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata, kerja dijadualkan 16 jam itu perlu dilakukan untuk memastikan kelangsungan bekalan air.

Beliau berkata, pemilihan tarikh henti tugas itu dibuat secara keputusan kolektif dalam mesyuarat bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara yang dihadiri wakil sektor air.

“Sekiranya kerja dijadualkan ditangguhkan lagi, kemungkinan percikan arka berlaku bila-bila masa dan ia akan mengambil masa hingga tiga minggu.

“Semestinya kerja senggaraan ini menjadi satu kecemasan dan risiko yang merunsingkan kami,” katanya.

Mohd Aminuddin berkata, terkini, situasi peralatan di PMU itu semakin meruncing dan penangguhan akan memberi kesan kepada bekalan elektrik dalam tempoh yang lama.

“Pemeriksaan fizikal termasuk imbasan haba pada 15 Disember lalu mendapati ada dua titik panas yang memerlukan tindakan segera bagi mengelakkan kerosakan besar berlaku kepada peralatan di PMU,” katanya.

Mohd Aminuddin turut memberi jaminan pihaknya memastikan kerja dilakukan mengikut perancangan dan pelan kontigensi dipersetujui semua pihak terlibat.

Menurutnya, meskipun henti tugas PMU Bukit Badong akan menyebabkan gangguan kepada loji rawatan air utama ke kawasan Selangor dan Kuala Lumpur, bekalan elektrik kepada pengguna sekitar PMU tidak terjejas kerana bekalan elektrik akan disalurkan menerusi set jana kuasa bergerak.

“Kapasiti voltan set jana kuasa bergerak pula tidak serasi dengan voltan loji rawatan bagi membolehkan elektrik disalurkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2016 @ 9:51 AM