Mustafar   menyampaikan sijil penghargaan kepada  Kalidevi  pada Sambutan Hari Imigresen Malaysia, semalam.
Mustafar menyampaikan sijil penghargaan kepada Kalidevi pada Sambutan Hari Imigresen Malaysia, semalam.

Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba memberikan sogokan kepada pegawai dan anggotanya untuk mendapatkan kepentingan tertentu.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Mustafar Ali mengingatkan semua kakitangannya mengekalkan sifat integriti tinggi meskipun ada segelintir pegawai dan anggota terbabit dalam salah laku rasuah.

Menurutnya, sogokan pihak luar itu akan terhapus apabila semua warga JIM dibekalkan dengan aspek latihan mencukupi, kesiapsiagaan perundangan serta peraturan selain tahap disiplin dan integriti yang tinggi.

“Untuk peringkat awal, JIM bersedia dalam melakukan perubahan dan transformasi memperkasakan tahap profesionalisme melalui perkhidmatan dan penguatkuasaan.

“Ini dapat dilihat apabila kami bakal menukar cogankata daripada ‘Mesra, Profesional, Sejahtera’ kepada ‘Integriti, Profesional, Mesra’ demi memperkukuhkan elemen membasmi gejala rasuah atau suapan,” katanya pada Sambutan Hari Imigresen Malaysia peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016, semalam.

Pada majlis sama, wartawan Harian Metro, Kalidevi Mogan Kumarappa menerima Sijil Penghargaan JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama tiga wartawan lain dari kumpulan Media Prima Berhad (MPB) membabitkan Berita Harian dan TV3 yang berjaya menyampaikan laporan berhubung penugasan JIM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 10:20 AM