Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai melakukan pelanggaran integriti, sekali gus mencemarkan nama baik dan imej agensi serta pegawai lain.

Ketua Pengarahnya Datuk Mustafa Ibrahim berkata, isu penahanan empat pegawai imigresen di Depoh Tahanan Imigresen Langkap, Teluk Intan, Perak tidak menjejaskan operasi jabatan dalam melaksanakan tugas harian, sebaliknya pegawai lain masih komited dan sentiasa memberi komitmen.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius isu integriti membabitkan pegawai JIM dan tidak akan melindungi mana-mana pegawai terbabit dalam aktiviti tidak berintegriti.

“Malah, kami sentiasa telus dan memberikan kerjasama penuh dalam melaksanakan siasatan hingga ke akar umbi untuk memastikan segelintir kecil pegawai yang melakukan kesalahan dikenakan tindakan supaya mereka tidak mencemarkan nama baik JIM,” katanya.

Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan dan mengenakan hukuman serius sekiranya pegawai berkenaan benar-benar didapati bersalah.

Mustafa berkata, setakat 31 Mei lalu, 37 pegawai imigresen didapati melakukan kesalahan pelanggaran integriti dikenakan tindakan tatatertib.

Menurutnya, bagi memastikan tahap integriti pegawai berada pada paras maksimum, Bahagian Integriti JIM melaksanakan Pelan Integriti JIM yang menjalankan program pematuhan dan kempen kesedaran memerangi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Ini memastikan setiap pegawai JIM melaksanakan tugas dengan penuh amanah, sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan imigresen.

“Sebagai langkah proaktif menangani isu integriti, kami sentiasa menjalin kerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Integriti Malaysia serta menghantar laporan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 8:42 AM