MUSTAPA (tengah) bersama  Seow (kiri) pada majlis penyerahan 30,000 tiket percuma Program Santai Best Harian Metro kepada pembaca sambil disaksikan Othman.
MUSTAPA (tengah) bersama Seow (kiri) pada majlis penyerahan 30,000 tiket percuma Program Santai Best Harian Metro kepada pembaca sambil disaksikan Othman.
Garret Dawum

Kuala Lumpur: Sempena cuti sekolah ini, Harian Metro (HM) menghargai pembaca setianya menerusi Program Santai Best! dengan pemberian 30,000 tiket masuk percuma ke Melaka Wonderland Theme Park & Resort, di Ayer Keroh, Melaka.

Pembaca hanya perlu mengumpul 10 keratan kepala akhbar HM bagi menebus satu tiket masuk percuma ke taman tema itu sepanjang tempoh promosi iaitu pada 1 hingga 31 Disember ini. Penebusan tiket boleh dibuat mulai 9 Disember.

Pengarang Kumpulan Harian Metro (HM), Datuk Mustapa Omar berkata, penebusan tiket boleh dilakukan di 10 lokasi yang juga pejabat The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di seluruh negara.

Menurutnya, selain di Balai Berita Kuala Lumpur, tiket boleh ditebus di pejabat NSTP di Selangor, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Waktu penebusan tiket ditetapkan pada setiap hujung minggu mulai 9 Disember ini bermula jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari,” katanya selepas majlis penyerahan tajaan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hospitaliti, Seow Cheng Swee yang disaksikan Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) HM, Othman Mamat di Balai Berita, semalam.

Mustapa berkata, bagi memeriahkan lagi program berkenaan, HM menganjurkan Konsert Santai Best! di Melaka Wonderland pada 24 Disember ini, bermula jam 3 petang.

Katanya, konsert istimewa itu bakal menampilkan empat artis popular tanah air iaitu Ronnie Hussein, Najwa Latif, Sufian Suhaimi dan Haiza (DJ Kool FM),” katanya.

Sementara itu, Seow berkata, 10,000 pembaca terawal yang menebus keratan kepala akhbar HM turut berpeluang mendapat kupon diskaun 20 peratus untuk penginapan atau makanan di Hotel RC, Melaka Bird Park, Wildlife Theatre, Bistro Year 1673 dan Melaka Wonderland.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 9:27 AM