FOTO Muhammad hatim Ab Manan
FOTO Muhammad hatim Ab Manan
Zairee Mohd Yasak


Melaka: "Kami tidak sangka orang ramai bertumpu di sini, untuk bersama-sama menyertai program 'Santai Best! Harian Metro' sebaik tiba di persimpangan jalan masuk pada jam 10 pagi tadi," kata Mazuin Mohamad, 30, ketika ditemui di Melaka Wonderland, Ayer Keroh, di sini.

Dia yang ditemani lima ahli keluarga lain antara lebih 15,000 pengunjung, menyertai kemeriahan hari kedua program.

Dia berkata, walaupun kedatangan mereka sekeluarga dari Bahau Negeri Sembilan ke taman tema air terbabit tidak dirancang, kehadiran orang ramai seawal jam 8.30 pagi itu lebih memeriahkan suasana program terbabit.

"Kami sekeluarga juga tidak menunggu lama untuk masuk ke taman tema kerana suami saya telah menebus baucar yang ditawarkan pada hari sebelumnya.

"Dapatlah juga kami berswafoto bersama artis yang hadir hari ini iaitu Ronnie Hussein dan Najwa Latif serta menyertai beberapa acara yang diaturkan pihak penganjur seperti tarian poco-poco dan chicken dance," katanya.

Katanya, walaupun keluasan taman tema tidak begitu luas, ahli keluarga yang turut sama dapat merasai kesemua lapan gelungsor air yang terdapat di taman tema itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hospitaliti Seow Cheng Swee berkata, kehadiran luar jangka pengunjung bersempena program anjuran Harian Metro itu begitu memberangsangkan.

"Kehadiran pengunjung pada hari ini memang tidak dijangka memandangkan kesemua lebih 800 lot parkir yang disediakan pihak pengurusan penuh kira-kira jam 11.00 pagi.

"Walaupun begitu, kesulitan kecil begini tidak memadamkan semangat pengunjung untuk turut menyertai program Santai Best! Harian Metro," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2016 @ 4:07 PM