Anggota Uunit Forensik  polis  menjalankan siasatan  di hadapan  rumah mangsa di Jalan Satu, Air Itam, kelmarin.
Anggota Uunit Forensik polis menjalankan siasatan di hadapan rumah mangsa di Jalan Satu, Air Itam, kelmarin.
Hadzlihady Hassan


Georgetown: Nasib ternyata menyebelahi seorang sami apabila dia terselamat daripada cubaan bunuh selepas ditembak dari jarak dekat dengan tiga das tembakan ketika berada di luar halaman rumahnya di Jalan Satu, Air Itam, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.50 malam, sami berusia 50 tahun berkenaan sedang menyiram pokok di halaman rumah sebelum didatangi seorang lelaki yang menunggang motosikal dan melepaskan tembakan ke arahnya, tetapi tidak mengenai mangsa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa sempat menyelamatkan diri dengan berlari masuk ke rumah dan menghubungi polis.

Menurutnya, sepasukan polis kemudian bergegas ke rumah mangsa dan hasil siasatan lanjut mendapati kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham antara sami berkenaan dan seorang individu yang dikenalinya.

“Bagaimanapun kita masih menyiasat dengan lebih lanjut berhubung perselisihan faham antara mangsa dan individu berkenaan kini diburu bagi membantu siasatan.

“Ketika kejadian, isteri serta tiga anak mangsa berada dalam rumah dan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Jiran mangsa, N Manju Bhargavi, 23, berkata, dia terdengar letupan kuat di depan rumahnya dan menyangka ia bunyi mercun yang dipasang sempena majlis perkahwinan yang berlangsung di kuil berhampiran.

Menurutnya, dia hanya mengetahui bunyi berkenaan adalah tembakan selepas melihat anggota polis berada di rumah jirannya.

“Adik saya keluar rumah namun dia berpatah balik dan memberitahu ramai polis berada di rumah jiran dan saya bergegas keluar untuk mengetahui apa yang berlaku.

“Anak jiran saya kemudian memberitahu yang bapanya ditembak individu tidak dikenali namun bernasib baik kerana tembakan itu tidak mengenai bapanya,” katanya.

Sementara itu, enam lelaki berusia 20 hingga 30-an ditahan polis di sekitar bandar ini bagi membantu siasatan berhubung kes tembak berkenaan, awal pagi semalam.

Difahamkan, setakat ini siasatan mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang dikatakan mengutip wang untuk kuil berhampiran kawasan perumahan terbabit.

Selain itu, mangsa juga sudah beberapa kali menerima ugutan daripada suspek berhubung tugasnya mengutip wang di kuil berkenaan dan pernah membuat laporan polis pada 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2017 @ 6:37 AM