KAMSIAH terlantar di Hospital  Sir Charles Gairdner, Perth sejak September lalu selepas diserang angin ahmar.
KAMSIAH terlantar di Hospital Sir Charles Gairdner, Perth sejak September lalu selepas diserang angin ahmar.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: “Bil rawatan tertunggak kini RM166,000 dan doktor yang merawat memaklumkan ibu boleh dibawa pulang ke Malaysia dalam masa dua atau tiga minggu lagi untuk rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur.

“Namun, impian itu nampak sukar dilaksanakan memandangkan kos membawa ibu pulang besar iaitu sekitar RM128,000, termasuk perlu membawa doktor dan jururawat dari sini,” demikian keluhan Nuraini Abdul Rahman, 23.

Kakitangan swasta yang berasal dari Batu Pahat, Johor anak sulung kepada, Kamsiah Jamhari, 53, rakyat Malaysia yang diserang angin ahmar ketika di Perth, Australia, September lalu.

Nuraini berkata, ibunya bersama seorang sepupunya ke Perth pada 5 September lalu untuk melawat ibu saudaranya, Sadiah Bowman, yang berkahwin dan menetap di sana.

Kata Nuraini sebelum pergi, ibunya kelihatan begitu teruja kerana sudah lama tidak bertemu dengan kakak sulungnya itu dan perancangan awal mereka sepatutnya berada tiga bulan di negara itu.

“Namun, selepas dua minggu di sana, ibu diserang serangan angin ahmar dengan tekanan darah pada waktu itu hampir mencecah 250 dan dirawat di Hospital Sir Charles Gairdner, Perth.

“Pemeriksaan doktor mendapati saluran darah di kepalanya pecah dan perlukan pembedahan segera,” katanya.

Menurut Nuraini, doktor melakukan pembedahan mengeluarkan sementara tempurung kepala ibu untuk mengurangkan bengkak.

Selain itu, serangan angin ahmar berkenaan juga menyebabkan Kamsiah tidak dapat bernafas seperti biasa dan perlu bergantung kepada tiub yang dipasang di lehernya.

Katanya, pada 23 Oktober lalu ibunya sekali lagi menjalani pembedahan memasukkan kembali tempurung kepala dan kini masih terlantar di hospital.

“Begitupun, doktor ada memberi khabar gembira ibu kemungkinan besar boleh dibawa pulang sebelum akhir bulan ini untuk meneruskan rawatan di sini.

“Kami sekeluarga di sini berdoa semoga ibu pulih kerana jika keadaan stabil dan tiub pernafasan boleh dikeluarkan, kos membawanya pulang mungkin berkurangan,” katanya.

Noraini berkata, keluarganya bukanlah berada kerana bapanya Abdul Rahman Kana meninggal dunia pada 2008 dan dua adiknya, Mohd Ridzuan, 24, dan Mohd Sayfiq, 21, baru saja bekerja.

Katanya, dia pernah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pusat zakat negeri, namun dimaklumkan tiada peruntukan untuk bantuan kes sedemikian.

“Dalam tempoh kurang daripada tiga minggu ini, saya dan adik beradik perlu mengumpul wang bagi membayar bil rawatan serta kos untuk membolehkan ibu kami kembali ke tanah air.

“Justeru, kami merayu jasa baik orang ramai membantu dan menghulurkan sumbangan ikhlas bagi memastikan impian membawa ibu pulang tercapai,” katanya.

Bagi yang ingin membantu Kamsiah, sumbangan boleh disalur ke akaun Maybank Nuraini Abdul Rahman, 151463209828, akaun Bank Commonwealth Sadiah Bowman, 10028970 atau hubungi 0172393153.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2016 @ 10:27 AM