PESAKIT mengalami sakit kepala.
PESAKIT mengalami sakit kepala.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


SEGELINTIR individu menganggap sakit kepala dialaminya hanya sakit biasa.

Namun, jangan ambil mudah perkara itu kerana ia satu daripada isyarat kepada masalah kesihatan iaitu bengkak otak yang boleh menyebabkan kematian.

Bengkak otak ataupun ‘serebral edema’ adalah keadaan apabila otak dipenuhi cecair berlebihan.

Pakar Perunding Bedah Otak dan Saraf Pusat Perubatan MSU (MSUMC) Shah Alam, Prof Dr Badrisyah Idris berkata, ada beberapa jenis bengkak otak yang bergantung kepada punca menyebabkan otak dipenuhi air.

“Ia sama ada disebabkan peralihan air keluar masuk dari sel otak terganggu ataupun dinding untuk menghalang air masuk ke dalam sel otak rosak.

“Keadaan ini boleh menjejaskan fungsi sebenar otak iaitu mengawal kebanyakan aktiviti badan.

“Juga kegagalan menerima semua maklumat dari bahagian badan dan menganalisisnya sebelum membuat keputusan serta tindakan,” katanya.

Beliau berkata, punca biasa dikaitkan dengan bengkak otak ialah jangkitan kuman dan kecederaan otak disebabkan kemalangan jalan raya.

“Punca lain ialah serangan angin ahmar dan darah beku disebabkan salur darah otak pecah, ketumbuhan otak serta gangguan pada pengaliran air saraf otak.

“Gejala bengkak otak berlaku kerana tekanan yang tinggi sehingga mengganggu fungsi otak,” katanya.

Selain itu, katanya, pesakit turut mengalami gejala lain seperti muntah, sawan, gangguan emosi, mental, penglihatan, pertuturan dan pergerakan anggota badan.

Jelasnya, pesakit yang menghidap masalah bengkak otak ini berisiko mati jika tidak mendapat rawatan segera.

DOKTOR boleh menggunakan ubat-ubatan untuk merawat bengkak otak.
DOKTOR boleh menggunakan ubat-ubatan untuk merawat bengkak otak.

Dr Badrisyah berkata, ini kerana tekanan yang semakin tinggi dalam ruang tempurung kepala menyebabkan pengaliran darah ke otak terganggu dan otak semakin membengkak.

“Kesannya bahagian otak yang mengawal pergerakan jantung dan pernafasan akan lumpuh yang akhirnya mengakibatkan kematian.

“Masalah bengkak otak perlu dirawat segera untuk mengelakkannya (otak) semakin rosak dan mengancam nyawa pesakit,” katanya.

Menurut Dr Badrisyah, rawatan diberikan kepada pesakit adalah melalui pemberian antibiotik bertujuan mengawal punca bengkak otak yang disebabkan jangkitan kuman.

“Dalam keadaan tertentu, ubat diberikan bagi mengurangkan air di dalam otak.

“Selain itu, pembedahan turut dilakukan untuk membuang darah beku atau ketumbuhan otak untuk mengawal bengkak otak,” katanya.

Dr Badrisyah berkata, bengkak otak yang berpunca daripada kecederaan otak dan angin ahmar boleh dikurangkan dengan membuang sebahagian tempurung kepala untuk mengurangkan tekanan dalam ruang tempurung berkenaan.

Menyentuh mengenai peluang pesakit sembuh, beliau berkata, kebanyakan pesakit boleh pulih sepenuhnya sekiranya mendapatkan rawatan awal dan pada masa sama mengenal pasti punca bengkak otak.

“Pesakit yang lewat menerima rawatan dan sebahagian besar otaknya sudah rosak disebabkan tekanan yang tinggi, peluang pulih sepenuhnya amat rendah dan berkemungkinan meninggal dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 6:30 AM