SYAHIRA memberi jagaan kepada bapa, Mohamat di kediaman di Jalan Meranti, Taman Rinting, Masai. FOTO Mary Victoria Dass
SYAHIRA memberi jagaan kepada bapa, Mohamat di kediaman di Jalan Meranti, Taman Rinting, Masai. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: "Sembilan tahun lalu, kakak menolak tawaran melanjutkan pengajian ke universiti demi menjaga ibu yang sakit buah pinggang dan angin ahmar, kini giliran saya pula berkorban demi bapa yang turut diserang angin ahmar," kata Syahira Mohamat, 19.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, dia mengambil keputusan untuk berhenti sekolah di tingkatan enam rendah pada pertengahan Februari apabila bapanya, Mohamat Md Noh, 68, diserang angin ahmar dan terlantar sejak awal Februari lalu.

Menurutnya, sebelum jatuh sakit bapanya bekerja sebagai pemandu trak angkat dengan pendapatan kira-kira RM500 sebulan.

"Bapanya juga bergilir-gilir membantu kakak (Jamilah, 26) dalam menguruskan keperluan ibu (Asmah Mohd Yatim, 58) termasuk membawanya ke pusat dialisis di Tampoi tiga kali seminggu.

"Malangnya bapa turut hilang upaya dan kini memerlukan penjagaan dan bantuan ahli keluarga bagi meneruskan kehidupan," katanya.

Syahira berkata, kini keluarganya bergantung sepenuhnya kepada pendapatan Jamilah yang bekerja sebagai kerani di kedai jual kereta iaitu sejumlah RM1,200 sebulan.

Menurutnya, malah pendapatan kakak juga terjejas apabila kerap bercuti bagi mengurus ibunya.

"Kami buntu apabila perlu membiayai kos bagi prosedur pemasangan jantung ibu sejumlah RM13,000 namun dengan bantuan orang ramai, akhirnya kami berjaya mengumpul dana.

"Alhamdullilah, ibu berjaya menjalani pembedahan semalam dan masih menerima rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA)," katanya.

Syahira berkata, kebiasaannya dia dan kakaknya membahagikan tugasan bagi menjaga ibu bapa dengan harapan mereka beransur pulih.

"Rutin harian saya adalah memasak, memberi susu kepada bapa setiap empat jam sekali, membersihkan bapanya, menukar lampin pakai buang dan memberi ubat.

"Manakala kakak pula memberi perhatian kepada ibu termasuk menemani ke pusat dialisis selain memantau tekanan darah ibu ketika berada di rumah," katanya.

Syahira berkata, dua minggu sekali dia juga perlu menukar tiub di hidung bapa selain tiub air kencingnya dengan dipantau pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (JKM).

Menurutnya, bagi kakaknya, cabarannya lebih berat kerana dia perlu mengurus perbelanjaan keluarga termasuk keperluan ibu bapa yang mencecah RM1,500 sebulan.

"Selain membeli susu khas disyorkan doktor bagi kedua-dua mereka malah bapa juga memerlukan lampin pakai buang.

"Setakat ini kami menerima bantuan sara hidup RM400 dari Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) selain baru saja memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya yang bercita-cita menjadi guru Bahasa Inggeris.

Terdahulu keluarga Syahira di Jalan Meranti, Taman Rinting, Masai dekat sini dikunjungi Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam dan Pengerusi Tindakan Ekonomi Komuniti B40 negeri Johor, Datuk Mohd Fadel Alwi yang turut menyalurkan sumbangan.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan menerusi akaun Bank Rakyat 220791685620 atas nama Jamilah.

KELUARGA Syahira menerima kunjungan daripada Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam. FOTO Mary Victoria Dass
KELUARGA Syahira menerima kunjungan daripada Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam. FOTO Mary Victoria Dass

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 6:08 PM