Kamsiah terlantar di hospital di Nedlands, Australia. FOTO ihsan Aznon Omar
Kamsiah terlantar di hospital di Nedlands, Australia. FOTO ihsan Aznon Omar
Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: "Dia ada beritahu saya bahawa dia kini buntu memikirkan nasibnya terutama untuk pulang ke tanah air apabila bil rawatan yang diterimanya kini mencecah 166,000 dolar Australia (RM532,000).”

Demikian luahan Aznon Omar, 51, tatkala mengenangkan nasib rakannya, Kamsiah Jamhari, 54, yang kini terlantar di Hospital Sir Charles Gardner, Nedlands, Australia.

Kamsiah sudah menjalani pembedahan lebih tiga kali selepas diserang angin ahmar sejak berada di Australia, pertengahan September lalu.

Aznon berkata, rakannya itu datang ke Perth, Australia pada pertengahan September lalu untuk melancong selain menziarahi kakaknya, Saadiah Jamhari, 55.

"Sebelum ini saya difahamkan dia (Kamsiah) ada penyakit darah tinggi saja tetapi selepas hampir dua minggu dia berada di Austrlia tiba-tiba dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sir Charles Gairdner, Nedlands akibat angin ahmar.

"Saya dimaklumkan oleh kakaknya dan terkejut mengenai perkara itu serta serta menziarahinya. Ketika itu dia (Kamsiah) tidak sedarkan diri dan hanya ditemani kakaknya," katanya ketika dihubungi Harian Metro di Australia.

Katanya yang mempunyai syarikat agensi pelancongan di Australia, rakannya itu juga sehingga kini masih ditempatkan dan menerima rawatan di hospital berkenaan selepas menjalani lebih tiga kali pembedahan.

"Terbaru, kakak Kamsiah iaitu Saadiah ada memaklumkan kepada saya bahawa adiknya itu ditempatkan ke ICU semula selepas mengadu sesak nafas pada minggu lalu dan kini berada dalam keadaan stabil.

"Saadiah beritahu bahawa dia dan adiknya kini buntu memikirkan mengenai kos rawatan yang diterima di hospital itu apabila jumlah keseluruhannya lebih RM500,000.

"Perkara paling utama adalah untuk membawa Kamsiah pulang ke Malaysia tetapi perlu menyelesaikan keseluruhan bil berkenaan dan bil itu juga akan meningkat dari hari ke hari," katanya.

Katanya, Kamsiah juga ada memaklumkan bahawa pihak hospital mahu meneruskan pembedahan di kepala itu untuk menyelamatkan nyawanya.

"Keluarga Kamsiah yang berada di Johor Bahru sudah dimaklumkan mengenai perkara ini dan mereka juga ada datang melawat rakan saya itu. Mereka kini giat mencari dan mengumpul dana untuk membantu menyelesaikan kos berkenaan termasuk usaha membawa pulang Kamsiah ke tanahair melalui laman sosial termasuk Facebook," katanya.

Katanya, rakannya itu adalah ibu tunggal kepada tiga anak dan tidak mampu untuk membayar semua kos rawatan itu.

"Semuanya memerlukan wang dan saya sebagai rakan turut berusaha mencari dana berkenaan. Usaha membawa pulang Kamariah ke Malaysia juga perlu mendapat kebenaran hospital selain memastikan dia sembuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 9:06 PM