Yusmizal Dolah Aling


Sydney: “Kami sekeluarga menerima dengan hati terbuka keputusan untuk menunda tarikh penerbangan ke tanah air demi kebaikan bersama.

“Pada mulanya ditetapkan pada 25 September tetapi tiba-tiba doktor mengesan darah beku di dua tempat, iaitu paha dan belakang kepala menyebabkan suami saya perlu dirawat lagi,” kata Zainon Abdul Rahman.

Menurutnya, dia reda dengan perkembangan terbaru itu biarpun sudah tidak sabar untuk membawa suaminya, Jaffar Saion, 57, pulang dan menerima rawatan di Malaysia.

Katanya, menerusi perbincangan dengan doktor di Hospital St Vincent, keadaan Jaffar dikhuatiri lebih teruk jika dibawa pulang mengikut jadual asal iaitu pada Ahad ini.

“Doktor memaklumkan ada darah beku dikesan dan pada masa sama berlaku pendarahan akibat pembedahan baru-baru ini. Jadi kita tidak mahu mengambil risiko dan hasil perbincangan bersama, kita setuju untuk pulang pada Selasa dengan diiringi doktor dan pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut Zainon, ahli keluarga di Malaysia sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan mereka melakukan persiapan sewajarnya untuk menyambut ketibaannya.

Sementara itu Setiausaha Biro Kebajikan Umno Malaysia (BKUM) Abd Khalid Chairul berkata, jadual asal penerbangan pada 25 September ini ditunda selepas perkembangan terbaru itu dan ia diputuskan secara bersama dengan persetujuan semua pihak.

“Setakat ini dari segi pengurusan semuanya lancar. Kita dimaklumkan doktor, pakar masih perlu memantau keadaannya pada 25 September. Jadi, kita akan bawa pulang Jaffar pada 27 September ini, insya-Allah,” katanya.

Keadaan kesihatan Jaffar stabil namun masih di dalam pengawasan doktor selepas diserang angin ahmar 30 Ogos lalu dan menjalani pembedahan bagi menggunakan alat bantuan pernafasan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2016 @ 8:47 AM
ZAINON (dua dari kiri) berbincang dengan Abd Khalid (kanan) di Hospital St Vincent.
ZAINON (dua dari kiri) berbincang dengan Abd Khalid (kanan) di Hospital St Vincent.