DATUK Seri Mahdzir Khalid menyerahkan replika cek kepada wakil penerima Sumbangan Zakat Korporat Yayasan RISDA. FOTO Noorazura Abdul Rahman
DATUK Seri Mahdzir Khalid menyerahkan replika cek kepada wakil penerima Sumbangan Zakat Korporat Yayasan RISDA. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


Padang Terap: Kerajaan akan mencari formula bagi meningkatkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram demi membantu pekebun kecil mendapat hasil lebih lumayan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peningkatan harga getah juga dapat membantu mengelak pekebun kecil getah beralih kepada tanaman lain, sekali gus menjamin pengeluaran getah negara.

"Harga getah perlu pada kadar yang boleh bertahan untuk masyarakat luar bandar. Memang kita tahu sukar untuk tingkatkan harga, tetapi kita kena ada formula untuk tujuan ini.

"Perkara ini bukan sahaja dilaung-laungkan oleh pengusaha, tetapi kerajaan sendiri kena fikir macam mana cara dan kaedah untuk tingkatkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Pekebun Kecil Makmur Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Kedah di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka.

Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim dan Pengerusi RISDA, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan diminta mempertimbangkan untuk menaikkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram mulai Januari tahun depan, bagi membolehkan lebih ramai penoreh getah keluar dari garis kemiskinan.

Ia berikutan harga lantai getah sekerap ketika ini RM2.50 sekilogram jauh lebih rendah berbanding kelapa sawit, sekali gus mewujudkan jurang besar antara pengusaha getah dan kelapa sawit.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, bagi memastikan pekebun kecil kekal dengan tanaman getah, Risda menyediakan pelbagai skim baharu untuk membantu meningkatkan ekonomi pekebun kecil termasuk ahli keluarga mereka.

"Risda sentiasa bantu pekebun kecil dan ada skim bantuan yang boleh dipohon, cuma kita minta pekebun kecil tidak terikut-ikut dengan harga tanaman lain di peringkat global kerana bimbang ia tidak kekal.

"Contohnya sebelum ini, ada pekebun pernah tukar daripada tanaman getah kepada buah-buahan tertentu yang mahal ketika itu, tetapi apabila harganya jatuh, mereka tukar balik semula kepada getah," katanya.

Sementara itu, Mohd Salim berkata, pihaknya bimbang sekiranya pekebun kecil beralih kepada tanaman lain, ia akan menyebabkan pengeluaran hasil getah negara terus merosot.

"Ketika ini, Malaysia berada di tangga keenam dunia bagi pengeluaran getah, kita bimbang jika ramai pekebun kecil getah beralih ke tanaman lain, maka kedudukan negara sebagai pengeluar getah dunia akan jatuh lagi.

"Jadi kita sedaya upaya mahu kekalkan penoreh getah dan mahu ia dijadikan kerjaya yang boleh menampung keperluan isi rumah dengan pendapatan antara RM2,500 hingga RM4,500 sebulan," katanya.

Jelasnya jika usaha ini berjaya, maka anak pekebun kecil getah boleh terus tinggal di kampung dan meneruskan kerja menoreh getah hasil peningkatan harga lantai getah yang munasabah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 4:33 PM