PASPORT antarabangsa yang dirampas JIM. FOTO ihsan JIM Johor
PASPORT antarabangsa yang dirampas JIM. FOTO ihsan JIM Johor
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan dua warga asing selepas disyaki menjadi ejen sindiket penipuan permit kerja di sebuah flat dekat Pasir Gudang di sini, semalam.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, menerusi Ops Serkap pada jam 1.15 pagi itu, pihaknya memeriksa empat individu sebelum menahan seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita Indonesia yang mengaku suami isteri berusia 44 dan 37 tahun.

"Hasil pemeriksaan, kita menjumpai 13 pasport antarabangsa Bangladesh dan India yang disorok dalam almari pakaian serta wang tunai RM34,983.

"Siasatan awal mendapati sasaran utama sindiket itu ialah warga asing yang majoritinya terdiri daripada warga Bangladesh yang mempunyai permohonan lanjutan permit kerja serta pendaftaran Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0.

"Sindiket mengenakan bayaran sekitar RM2,000 hingga RM3,000 bagi satu permohonan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, suspek wanita ditahan mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, suspek lelaki pula ditahan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 (Akta 150) kerana tanpa kuasa sah mempunyai pasport atau dokumen yang dikeluarkan bagi kegunaan seseorang atau dirinya.

"Kita memandang serius kegiatan sindiket yang mengaut keuntungan dengan mengeluarkan atau membekalkan dokumen jabatan secara penipuan dikhuatiri boleh mencemarkan nama baik dan imej Jabatan Imigresen Malaysia," jelasnya.

Pada masa sama, Baharuddin menasihatkan orang ramai supaya terus berurusan dengan pejabat imigresen dan tidak menggunakan orang tengah atau ejen untuk sebarang urusan bagi mengelak ditipu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 12:19 PM